Enam ditahan disyaki pukul vokalis kumpulan skinhead

Enam ditahan disyaki pukul vokalis kumpulan skinhead

SEKUMPULAN lelaki yang didakwa memukul seorang vokalis kumpulan skinhead dibawa ke mahkamah untuk tahanan reman di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis menahan seramai enam individu yang disyaki terlibat dalam kejadian pukul seorang vokalis kumpulan ‘skinhead’ di sebuah pusat beli-belah, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kesemua suspek yang berusia antara 28 hingga 40 tahun ditahan di beberapa lokasi berbeza di Bandar Dato’ Onn dan Larkin, di sini serta  Segamat.

Hasil siasatan mendapati punca pergaduhan kerana perselisihan faham lama antara suspek utama dengan mangsa semasa program muzik di Ampang, tahun lalu. 

“Kelmarin polis telah membuat tangkapan pertama dengan menahan tiga suspek berusia 34 hingga 36 tahun kira-kira pukul 11.30 malam di sekitar Johor Bahru dan Segamat.

“Kesemua suspek warga tempatan yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau, hanya suspek pertama yang berusia 36 tahun didapati positif dadah jenis benzodiazepine,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketiga-tiga suspek tersebut telah ditahan reman selama empat hari sehingga Jumaat ini.

Katanya, ekoran tangkapan pertama itu, polis telah berjaya membuat tangkapan susulan ke atas tiga lelaki tempatan berusia 28 hingga 40 tahun di sekitar kawasan Johor Bahru dan Segamat, semalam.

“Suspek berusia 40 tahun mempunyai satu rekod jenayah lampau manakala hanya suspek berusia 28 tahun didapati positif dadah jenis ganja. Ketiga-tiga suspek telah dibenarkan ditahan reman selama empat hari bermula hari ini hingga Sabtu ini,” katanya.

Sabtu lalu, vokalis kumpulan Armpunk Sindicate dikenali sebagai Zed, 23, dibelasah beramai-ramai di hadapan tandas sebuah pusat beli-belah sebelum diseret beberapa meter.

Kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 10.30 malam semasa satu program persembahan live band ‘Remember 69 Rundown’ sedang berlangsung. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN