ALOR SETAR: Sebanyak empat penerbangan masing-masing melibatkan dua ketibaan dan pelepasan tergendala susulan kemalangan pesawat Hawk milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), petang tadi.
Bagaimanapun, operasi Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) yang ditutup sementara akibat kemalangan itu beroperasi semula kira-kira pukul 8 malam tadi.
Pengurus LTSAH, Ikram Alif Mansoor berkata, landasan ditutup kira-kira pukul 5.30 dan dibuka semula selepas kerja-kerja pembersihan, pemindahan pesawat dan pemeriksaan terhadap landasan selesai dilaksanakan.
“Kita sedang menyusun semula jadual untuk semua penerbangan yang terjejas, terdapat juga penerbangan yang melibatkan jemaah haji, jadi kita akan selesaikan kesemua penerbangan pada malam ini juga,” katanya ketika dihubungi, malam ini.
Terdahulu, TUDM mengesahkan pesawat HAWK tersebut mengalami masalah pada bahagian ‘nose landing gear’ ketika mendarat.
Pesawat berkenaan difahamkan sedang menjalani latihan ‘Opening Gambit’, iaitu sesi persiapan untuk acara pembukaan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25).
Bagaimanapun, juruterbang pesawat berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Petang tadi, Malaysia Airports dalam satu kenyataan memaklumkan Landasan LTSAH ditutup sementara berikutan insiden melibatkan sebuah pesawat milik TUDM pada 5 petang tadi. – UTUSAN










