Empat ah long terlibat 33 kes simbah cat, khianat ditahan

Empat ah long terlibat 33 kes simbah cat, khianat ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Polis Pulau Pinang dan Perak berjaya menumpaskan satu sindiket pinjaman wang tanpa lesen yang terbabit dalam 33 kes simbah cat serta khianat dengan api selepas menahan empat lelaki tempatan menerusi beberapa serbuan berasingan di sekitar negeri ini, semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, keempat-empat suspek yang berusia antara 34 hingga 42 tahun itu disyaki terlibat secara aktif dalam kegiatan pinjaman wang secara dalam talian itu.

“Hasil soal siasat, kesemua suspek mengaku terlibat dalam 33 kes simbah cat dan khianat dengan api di sekitar Pulau Pinang, Perak dan Kedah.

“Menerusi pemeriksaan yang dilakukan terhadap telefon bimbit yang dirampas pula, kita berjaya mengesan sasaran lokasi simbahan cat yang dilakukan oleh keempat-empat suspek ini,” katanya di sini, hari ini.

Hamzah berkata, selain lima telefon bimbit, polis turut merampas pelbagai barangan lain termasuk tiga keping nota ugutan bayaran hutang, dua keping nombor pendaftaran palsu kenderaan, tin cat merah serta beberapa barangan lain yang berkaitan.

Katanya, sebuah kereta jenis Toyota Vios juga telah disita untuk siasatan lanjut.

“Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara untuk tempoh antara satu hingga lima tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali,” ujar beliau.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN