GEORGE TOWN : Suasana Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini menjadi sayu seketika apabila seluruh Ahli Dewan membaca doa dan bertafakur bagi mengenang jasa Perdana Menteri Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia pada 14 April lalu.
Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib ketika berucap merasmikan mesyuarat pertama penggal ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-15 itu memohon Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang beragama Islam menghadiahkan al-Fatihah manakala yang bukan beragama Islam pula diminta bertafakur atau memanjatkan doa mengikut pegangan dan kepercayaan masing-masing.
“Sebelum sidang ini melangkah ke wacana dan bicara yang lebih jauh, marilah kita bersama-sama mengambil sedikit ruang waktu untuk mengenang jasa serta sumbangan besar Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang telah kembali ke rahmatullah,” katanya.
Terdahulu, Tun Abdullah, 85, yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas dari tahun 1978 hingga 2008 menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 14 April lalu dan selamat disemadikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara.
Sementara itu, Ramli turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas inisiatif untuk menamakan semula Lebuhraya Bandar Cassia di Batu Kawan kepada Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau berkata, langkah itu bukan sekadar satu simbol penghormatan, malah, ia merupakan manifestasi penghargaan yang mendalam terhadap jasa dan kepemimpinan Allahyarham.
“Sumbangan Allahyarham yang akrab disapa Pak Lah dalam membina negara bangsa serta mendorong pembangunan strategik telah memberi manfaat besar kepada negeri ini.
“Semoga nama beliau akan terus mekar dalam lipatan sejarah Pulau Pinang dan terpahat kukuh dalam sanubari rakyat yang sentiasa menghargai jasa dan budinya,” katanya. – UTUSAN