Suspek acu parang ke perut saya -pemandu ahli perniagaan

Suspek acu parang ke perut saya -pemandu ahli perniagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Diacukan parang ke perut serta diikat tangan dengan tali. Itu detik cemas dilalui seorang pemandu kepada ahli perniagaan yang juga saksi penting pendakwaan dalam kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang membabitkan bekas Ketua Menteri apabila rumahnya diceroboh sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang di Bukit Gasing di sini, awal pagi tadi.

Lelaki warga India yang enggan dikenali, 37, berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 6 pagi itu, dia berada di pekarangan rumah majikannya sebelum didatangi sekumpulan lelaki bertopeng.

“Saya baru tiba di rumah majikan sebelum beberapa individu memakai topeng dan membawa parang sepanjang lengan muncul.

“Seorang daripada mereka mengacukan parang ke perut saya dan mengarahkan saya duduk mencangkung.

“Mereka bertanya dari mana saya berasal dan saya menjawab India. Mereka kemudian terus bercakap dengan saya dalam Bahasa Melayu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menceritakan lanjut, dia berkata, suspek kemudian turut bertanyakan tempat wang disimpan selain keberadaan pembantu rumah.

“Apabila saya jawab tidak tahu, mereka terus memukul kepala saya,” katanya sambil menunjukkan kesan lebam berwarna merah di bahagian mata kirinya.

Tambahnya, suspek turut mengikat tangannya serta tukang kebun dan majikan menggunakan tali kabel.

Terdahulu, media melaporkan polis mengesahkan kejadian membabitkan seorang ahli perniagaan yang juga saksi penting pendakwaan dalam kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang diserang di kediamannya di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pada 7.20 pagi.

Beliau berkata, pihaknya percaya suspek dalam kejadian ini membabitkan antara empat hingga lima orang.

“Dipercayai suspek dalam kejadian ini membabitkan antara empat hingga lima orang, pasukan siasatan masih ditempat kejadian.

“Satu kenyataan media akan dikeluarkan berhubung kejadian terbabit dalam masa terdekat,” katanya.

Difahamkan, ahli perniagaan terbabit adalah saksi pendakwaan penting dalam kes membabitkan seorang bekas ketua menteri.

Lelaki berkenaan mengalami kecederaan di bahagian mulut dan pergelangan tangan manakala dua pengawal keselamatannya diikat oleh penyerang.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN