MARAN: “Nyawa atau harta?”
Ugutan itu masih terngiang-ngiang di telinga Mohamad Najib Ramli yang menjadi mangsa samun dua perompak bertopeng yang memecah masuk rumahnya di Felda Jengka Lapan, dekat sini, Jumaat lalu.
Ketika kejadian sekitar pukul 10 malam itu, Najib, 34, sedang bersiap untuk keluar ke Bandar Tun Abdul Razak Jengka, namun malam yang sepatutnya biasa itu bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dua lelaki bertopeng muncul membawa pisau dan objek menyerupai pistol.
“Saya hendak pastikan pintu belakang tertutup, tiba-tiba saya ditolak dari belakang. Pisau dapur diacu ke leher saya, satu objek keras seperti pistol ditekan ke perut. Saya langsung tak mampu buat apa-apa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.
Dia yang tinggal seorang diri di rumah selepas kematian kedua ibu dan bapa, diikat menggunakan tali nilon dan tali pinggang pada tong gas lalu ditinggalkan di bahagian dapur.
Lebih mengguris hatinya adalah barangan kemas milik arwah ibunya yang disimpan sebagai kenangan turut dilarikan perompak tersebut bersama beberapa barangan lain.
“Saya rayu, saya kata itu barang emak saya yang sudah meninggal dunia tetapi mereka buat tidak tahu,” katanya.
Najib percaya suspek sudah pun berada di dalam rumah seawal pukul 7.30 malam sebelum dia pulang.
“Mereka siap ugut nyawa saya. Saya dengar perbualan mereka, saya tahu ada seorang lagi tunggu luar rumah bagi isyarat,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua suspek turut memaksanya memberikan nombor PIN kad bank serta kata laluan aplikasi Maybank2u dipercayai untuk mengakses wang simpanannya.
“Sebab ketakutan, saya serah saja. Mereka ugut hendak datang semula kalau saya buat laporan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Sai berkata, suspek melarikan beg galas berisi wang tunai RM1,000, barang kemas seberat 20 gram, kad bank, telefon pintar dan kereta milik mangsa jenis Proton Saga FLX.
“Selepas perompak melarikan diri, mangsa membuka ikatan dan menunggang motosikal ke sebuah kedai makan berhampiran untuk meminta bantuan,” katanya.
Polis turut menemukan beberapa bahan bukti seperti tali nilon, pisau, tali pinggang, sehelai baju dan puntung rokok yang dipercayai milik suspek.
Tangkapan dibuat dalam tempoh kurang 15 jam selepas kejadian itu berlaku. – UTUSAN