TASEK GELUGOR : Sebanyak 160 karton minuman keras pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM103,804.80 termasuk cukai berjaya dirampas dalam Operasi Intra Agensi yang berlangsung selama dua hari di sekitar kawasan ini, bermula kelmarin.
Dalam operasi yang sama, dua lelaki iaitu seorang warga tempatan berusia 58 tahun serta seorang warga asing berusia 36 tahun telah ditahan dan kini direman sehingga 3 Jun ini bagi membantu siasatan.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, operasi itu dijalankan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara yang secara keseluruhannya melibatkan lapan anggota serta seorang pegawai kanan polis.

Terdahulu, beliau berkata, pihaknya telah membuat satu risikan sebelum bertindak menyerbu sebuah gudang tidak bernombor di Kampung Selamat di sini yang dipercayai menjadi lokasi pengedaran minuman keras tidak bercukai ini.
“Kes disiasat oleh pegawai penyiasat dari IPD Seberang Perai Utara di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 dan denda tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000.
“Selain itu, mereka yang didapati bersalah juga boleh dipenjara untuk tempoh antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya di sini, hari ini.
Tambah Rusley, selaras dengan arahan pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihaknya akan terus menjalankan kerjasama secara ‘inter’ dan ‘intra’ agensi dalam usaha memerangi jenayah penyeludupan kontraban yang dianggap bukan sahaja merugikan kerajaan, malah, memudaratkan masyarakat.-UTUSAN