PETALING JAYA: Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah melakar kemenangan sulungnya musim ini dalam kategori utama ASB1,000 pada pusingan ketiga Kejuaraan Motosikal Asia FIM 2025 (ARRC) di Litar Motegi, Jepun.
Bekas pelumba MotoGP negara itu mencatat 24 minit 09.165 saat (s) untuk mengungguli saingan, sekali gus membawa pulang 25 mata selaku juara perlumbaan 2.
Tempat kedua milik pelumba Jepun, Keito Abe daripada pasukan SDG HARC-Pro. Honda Filipina (24:09.378s) dan kedudukan ketiga dimenangi seorang lagi wakil Jepun, Sho Nishimura mewakili Japan Post Honda Racing (24:12.201s).
Seorang lagi pelumba Malaysia, Muhammad Zaqhwan Zaidi yang bernaung di bawah pasukan Idemitsu Honda Racing Malaysia menamatkan aksinya di tangga kelima dengan catatan 24:15.292s.
Hafizh berkata, dia bermula baik dalam perlumbaan 1 Sabtu lepas tetapi gagal menamatkan saingan dengan keputusan yang baik.
“Malah, pagi ini (kelmarin) saya hampir hilang keyakinan kerana saya hanya memacu jentera mengikut rentak tetapi tiba-tiba saya berdepan masalah tayar depan motosikal ketika di selekoh sembilan dan ia menyebabkan saya meragui kemampuan jentera.
“Saya tidak faham mengapa saya kehilangan cengkaman dengan begitu mudah, jadi, masalah itu benar-benar menggugat keyakinan saya menjelang perlumbaan 2,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh ARRC di sini, kelmarin.
Kata Hafizh, dalam perlumbaan 2 dia bermula positif tetapi masih belum bersedia untuk memacu jentera ke tahap 100 peratus dan mungkin ia setakat 95 peratus. – UTUSAN










