Ramai individu yang dilahirkan dengan rambut keriting semula jadi dibesarkan dalam persekitaran kurang pendedahan tentang cara penjagaan yang betul.
Hal ini, menyebabkan rambut mudah mengalami masalah seperti terlampau kering dan sukar diuruskan sekali gus rumit untuk digayakan.
Pakar Penjagaan Rambut R50 Hair Lounge, Nursyasya Afina Suhaimi berkata, rutin cucian rambut keriting tidak sama dengan mereka yang mempunyai rambut lurus.
Katanya, penjagaan untuk rambut keriting bermula dengan langkah pencucian yang betul iaitu dengan melakukannya sekali atau dua kali seminggu sahaja.
“Pencucian yang melebihi empat kali dan terlalu kerap akan menjadikan rambut keriting mudah menjadi rapuh.
“Dengan adanya penjagaan yang betul, rambut keriting bukan sahaja boleh kelihatan menarik, malah ia juga menjadi lambang kekuatan dan keyakinan diri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Nursyasya menyarankan agar tidak menggosok rambut dengan tuala semasa mengeringkannya, kerana ia boleh menyebabkan kerosakan.
Sebaliknya, Nursyasya Afina menyarankan menggunakan teknik meramas rambut bagi membantu membentuk rambut kerinting untuk kelihatan lebih kemas.
Pada masa sama, rambut harus disikat dengan menggunakan sikat bergigi jarang ketika masih dalam keadaan basah.
Produk wajib dimilik
Penggunaan syampu bebas sulfat merupakan pilihan yang terbaik bagi si rambut keriting kerana tidak mengeringkan kulit kepala dan menghilangkan minyak semula jadi rambut.
“Bagi mereka yang mahu mengekalkan bentuk keriting dengan lebih kemas dan tahan lama, penggunaan krim penggaya dan gel pembentuk keriting dapat membentuk keriting menjadi teratur dan beralun cantik,” katanya.
Sementara itu, penggunaan minyak rambut atau serum ringan amat digalakkan untuk menambah kilauan dan mengurangkan kekusutan.
Ia turut membentuk lapisan pelindung terhadap cuaca panas dan kelembapan, sekali gus membantu mengekalkan struktur keriting agar kekal sihat dan terurus.
AMALAN ROSAKKAN RAMBUT
Tanpa disedari, terdapat beberapa amalan yang boleh merosakkan bentuk asal keriting sehingga ia menjadi tidak sekata dan sukar kembali ke bentuk asal.
Antara punca utama ialah penggunaan haba yang berlebihan, terutamanya melalui alat seperti pengering dan pelurus rambut.
Katanya, sesetengah individu berambut keriting melakukan gaya rambut yang berbeza dengan menggunakan mesin penggayaan rambut tersebut.
“Jika dilakukan terlalu kerap, ia boleh menyebabkan pola keriting hilang sepenuhnya dan rambut menjadi mudah bercabang akibat kerosakan haba.
“Rambut keriting yang mengalami kerosakan haba selalunya sukar kembali ke bentuk asal walaupun selepas dicuci atau tidak digayakan selama berminggu-minggu,” katanya.
Justeru, gunakan produk pelindung haba, sebelum menggunakan peralatan penghiasan rambut yang mengeluarkan haba panas.
Tambahnya, elakkan juga menggunakan sarung bantal berasaskan satin dan sutera untuk mengelakkan rambut mudah kusut.-UTUSAN










