Dokumen berkaitan minyak dan gas Sarawak diumum masa terdekat

Dokumen berkaitan minyak dan gas Sarawak diumum masa terdekat

ABANG JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu dokumen rasmi yang memperincikan perjanjian antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak berkaitan hal ehwal minyak dan gas akan diumumkan dalam masa terdekat.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, dokumen tersebut akan memberi penjelasan mengenai hasil pertemuan strategik bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Mei lalu.

Menurut beliau, dokumen tersebut akan merangkumi tiga perkara utama yang telah dipersetujui bersama.

“Pertama, Kerajaan Persekutuan mengiktiraf peruntukan undang-undang di peringkat Persekutuan dan Negeri. 

“Kedua, Petroleum Sarawak Berhad (Petros) akan diiktiraf sebagai satu-satunya pengumpul gas (aggregator) di Sarawak.

“Ketiga, dokumen itu juga akan merangkumi perjanjian komersial melibatkan peningkatan kepentingan Sarawak dalam industri gas asli cecair (LNG),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) Borneo 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Kuching.

Sebelum ini, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada 9 Mei memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak telah mencapai persetujuan untuk menyelesaikan perkara berkaitan Petronas dan Petros melalui rundingan.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri kepimpinan tertinggi Petronas dan Petros di Perdana Putra, Putrajaya.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, beliau dan Perdana Menteri dijadual menandatangani satu perjanjian dalam tempoh dua hari bagi menyelesaikan isu-isu berlarutan berkaitan sumber minyak dan gas Sarawak.

“Tunggu sahaja akan ada satu dokumen rasmi antara saya dan Perdana Menteri berkaitan perjanjian minyak dan gas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN