Status Pakistan jejas persiapan Speedy Tigers

Status Pakistan jejas persiapan Speedy Tigers

Pemain hoki kebangsaan berlatih menjelang saingan Hoki Piala Asia 2025, di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad hoki negara, Sarjit Singh meluahkan rasa bimbang ekoran jadual perlawanan Piala Asia di Bihar, India pada 27 Ogos hingga 7 September ini belum dimaklumkan.

Difahamkan, Persekutuan Hoki Asia (AHF) sehingga kini belum mengeluarkan jadual perlawanan kejohanan itu berikutan Pakistan belum mengesahkan penyertaan mereka susulan ketegangan politik dengan tuan rumah.

Sarjit berkata, situasi tidak pasti itu menjejaskan persiapan pasukan lain yang mengambil bahagian termasuk Speedy Tigers yang diletakkan sasaran awal mara ke separuh akhir kejohanan.

“Kami masih belum tahu kerana senarai kumpulan pun belum dikeluarkan. Terdapat ketidakpastian mengenai penyertaan Pakistan. Ada yang mengatakan mereka akan serta, ada yang kata tidak.

“Khabar angin mengatakan mereka tidak akan sertai, tetapi kami tidak pasti. Ini adalah sebab mengapa jadual perlawanan masih belum dikeluarkan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad hoki negara di Stadium Hoki Nasional, semalam.

Sarjit turut berkata, jika Pakistan tidak menyertai kejohanan tersebut maka segala-galanya termasuk senarai kumpulan bertanding akan berubah.

“Ini menyukarkan perancangan kami, termasuk untuk perlawanan persahabatan kerana kami mungkin berada dalam kumpulan yang sama dengan pasukan berkenaan.

“Sepatutnya dua versi jadual perlu dikeluarkan iaitu satu dengan (penyertaan) Pakistan dan satu tanpanya, supaya kami boleh merancang,” katanya.

Selain tuan rumah dan Malaysia, pasukan lain yang sudah mengesahkan penyertaan adalah juara bertahan, Korea Selatan, Jepun, China, Oman dan Taiwan.

Juara kejohanan akan diberi tiket automatik ke saingan Piala Dunia 2026 di Belgium dan Belanda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×