PETALING JAYA: Selebriti kulinari terkenal, Datuk Chef Wan berkongsi pengalaman lucu ketika bercuti di Itali apabila bungkusan kecil di dalam tandas yang disangka tisu percuma ternyata tuala wanita.
Kongsi Chef Wan atau nama sebenarnya Redzuawan Ismail, beliau mengambil ‘tisu’ tersebut sebagai satu persediaan untuk mengelap mulut selepas makan atau membersihkan skrin telefon namun kejutan berlaku ketika beliau tiba di hotel.
“Disebabkan percuma, saya ambillah satu, ingat nak lap mulut lepas makan atau bersihkan skrin telefon yang kotor.
“Bila sudah sampai di hotel, saya sangat terkejut. Itu bukan tisu biasa yang selalu orang jual di kedai makan di Kuala Lumpur.
“Tuala wanita rupanya, nasib malang 100 tahun kalau lap mulut guna benda ini” katanya berseloroh.
Chef Wan berkongsi pengalaman itu di akaun Instagram miliknya.
Dalam pada itu, beliau sempat bergurau mengatakan ‘tisu’ itu mungkin berguna sekiranya berlaku kecemasan.
“Tapi bila fikir semula, bagus juga simpan sebagai persediaan masa kecemasan, kalau tercirit atau sakit perut, berguna juga.
“Hidup ini penuh dengan kejutan,” ujarnya.
Sementara itu, rata-rata pengguna internet berasa terhibur dengan insiden tersebut dan ada yang mencadangkan cara lain menggunakan tuala wanita itu.
“Maaf chef, saya tergelak, nasib baik chef tidak buka di luar dan tempat awam,” kata warganet.
“Adoiii, terbahak-bahak saya gelak chef. Dari dulu sampai sekarang lawak chef sangat spontan,” kata warganet lain.
“Chef boleh letak di ketiak juga, kalau berpeluh waktu memasak, tidak kena pada baju,” kata pengguna lain berseloroh.-UTUSAN