Didakwa pukul dua lelaki guna batang besi di kelab malam

Didakwa pukul dua lelaki guna batang besi di kelab malam

KESEMUA tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan memukul dua pemuda sehingga menyebabkan kecederaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Lima lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memukul dua pemuda sehingga menyebabkan kecederaan, minggu lalu.

Tertuduh, Lai Jing Ho, Lim Koon Leng, Yee Pao Wei, Bong Jia Jun dan Kevin Fong Tze Weng masing-masing berusia antara 23 dan 42 tahun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh secara bersama telah menyebabkan kecederaan terhadap mangsa berumur 33 tahun dengan menggunakan batang besi di sebuah kelab malam di Jalan Syed Abdul Aziz dalam daerah Melaka Tengah, kira-kira pukul 2.15 pagi pada 7 Mei 2025.

Sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat dengan mana-mana dua daripada hukuman itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 34 KK dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama.

Kesemua tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 323 KK dan dibaca bersama Seksyen 34 KK kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada seorang lagi mangsa berusia 33 tahun di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib mencadangkan jaminan RM12,000 seorang bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan kesemua tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan ahli keluarganya.

Peguam Nuradzlyn Sharmine Azrin Sham yang mewakili kesemua tertuduh merayu anak guamnya dikenakan jaminan rendah.

Mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 seorang dengan dua penjamin berserta syarat tambahan dipohon pendakwaan dan menetapkan 23 Jun ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN