PETALING JAYA: Kerja-kerja pengindahan dan naik taraf di 11 lokasi strategik ibu kota kini dalam pengawasan rapi bagi memastikan Malaysia bersedia sebagai tuan rumah Kepengerusian ASEAN 2025.
Lawatan di bawah pengawasan rapi Datuk Bandar Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Seri Dr Maimunah Mohd. Sharif itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan DBKL bagi memastikan ibu kota berada dalam keadaan terbaik untuk menyambut kehadiran delegasi antarabangsa.
Sebanyak 11 lokasi strategik di sekitar ibu kota telah ditinjau termasuk Jalan Parlimen, KL Sentral, Jalan Travers, Bulatan KTM, Dataran Merdeka, Kolam Biru, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang serta kawasan utama Bukit Bintang.
Antara elemen yang diberi perhatian khusus dalam lawatan itu ialah pemasangan arca ASEAN, pencahayaan impak, penaiktarafan landskap, laluan basikal, kerja-kerja penurapan jalan serta penyelenggaraan infrastruktur awam oleh jabatan-jabatan teknikal DBKL.
Sesi lawatan itu mencerminkan komitmen berterusan DBKL dalam memastikan Kuala Lumpur bersedia tampil sebagai sebuah bandar raya yang bersih, moden dan berdaya saing.
Malaysia kini pengerusi ASEAN pada 2025 dan Kuala Lumpur pula menjadi lokasi utama bagi pelbagai mesyuarat dan sidang kemuncak blok ekonomi Asia Tenggara itu. – UTUSAN