CEO GISBH kekal dipenjara

CEO GISBH kekal dipenjara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), Nasiruddin Mohd. Ali kekal ditahan di penjara selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuannya berhubung penahanan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara memutuskan demikian selepas mendapati rayuan dikemukakan Nasiruddin dan isterinya, Azura Md. Yusof tidak mempunyai sebarang merit.

“Permohonan pemohon tiada merit dan keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan,” kata Hakim Tengku Maimun yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Pasangan itu memfailkan permohonan habeas corpus itu pada 30 Oktober 2024 di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, namun ditolak oleh mahkamah pada 14 Januari lalu.

Bagaimanapun, pada 24 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan Azura dan tujuh lagi wanita untuk dibebaskan dengan jaminan RM40,000 dengan dua penjamin serta diperintahkan untuk melapor diri di balai polis dua minggu sekali.

Pada 13 Januari lalu, akauntan GISBH, Hamimah Yakub, 73, merupakan individu pertama daripada kumpulan terbabit yang ditahan mengikut SOSMA yang dibenarkan diikat jamin RM40,000 dengan dua penjamin. Secara keseluruhan, hanya tertuduh wanita (sembilan orang) telah dibenarkan dijamin.

Selain Azura dan Hamimah, turut dibebaskan dengan jaminan ialah Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly ,45; Mahani Kasim, 55; Siti Hajar Ismail, 52; Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28; Nurul Jannah Idris, 29; Nur Jannah Omar, 33, dan Siti Salmiah Ismail, 58.

Selain Nasiruddin, tertuduh-tertuduh lelaki yang tidak dibenarkan jaminan ialah Hasnan Abd Hamid, 54; Mohammad Adib At-Tarmizi Asa’ari, 33; Mohd. Shukri Mohd. Noor, 54; Mokhtar Tajuddin, 61; Shuhaimi Mohamed, 57; Muhammad Afdaluddin Latif, 35; Mohamad Sayuti Omar, 36; Mohd. Fazil Md Jasin, 58; Mohd. Dhirar Fakhrur Razi, 35; Muhammad Zahid Azhar@Nadzri, 52; Abu Ubaidah Ahnad Shukri, 35, dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29.

Pada Oktober 2024, Nasiruddin dan Azura serta 19 lagi individu didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang namun tiada pengakuan daripada kesemua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan yang dibaca berasingan , mereka didapati menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Kumpulan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di sebuah tempat di Jalan Desa, di Bandar Country Homes, Rawang antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN