Buku tempatan perlu tembus pasaran luar tanpa terjemahan - Utusan Malaysia

Buku tempatan perlu tembus pasaran luar tanpa terjemahan

FORUM Asian Rights Fair 2025 berlangsung sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini. UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Buku-buku terbitan tempatan perlu dibawa masuk ke negara-negara serantau dalam bahasa asal tanpa diterjemah bagi memastikan nilai budaya dan penulisan tempatan kekal asli.

Presiden Persatuan Penerbit Buku ASEAN (ABPA), Sheikh Faisal Sheikh Mansor berkata, langkah tersebut merupakan antara agenda utama menjelang penganjuran Kongres Penerbit-Penerbit Antarabangsa (IP Congress) ke-35 yang akan berlangsung dengan Malaysia sebagai tuan rumah, tahun depan.

Katanya, sudah tiba masanya buku dari Malaysia dibawa masuk ke negara-negara jiran seperti Indonesia, Vietnam dan Filipina dalam bentuk asal tanpa diubah atau diterjemah.

“Selama ini kita menerima banyak buku dari negara Asia lain, namun jarang sekali buku-buku tempatan menembusi pasaran luar terutamanya dalam bahasa asal tanpa terjemahan,” katanya dalam Rights Forum sempena Asian Rights Fair 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, harini.

Tambahnya, permintaan terhadap bahan bacaan dalam bahasa Melayu semakin meningkat, khususnya dalam kalangan rakyat Malaysia yang menetap di luar negara.

“Kita ada rakyat di luar negara yang mahu bahan bacaan dalam bahasa sendiri, tetapi sukar mendapatkannya. Ini adalah waktu terbaik untuk memastikan mereka tidak terputus dengan budaya dan bahasa,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan kepentingan menyediakan bahan bacaan dalam bahasa ibunda rakyat negara ASEAN yang menetap di Malaysia.

“Kita juga mahu buka akses kepada komuniti ASEAN yang berada di Malaysia dengan menyediakan bahan bacaan dalam bahasa mereka. Ini termasuk penerbitan fizikal dan e-buku.

“Kalau mereka tiada bahan bacaan mereka pun tidak membaca. Ini bukan soal pasaran semata-mata, ini soal membina masyarakat membaca secara inklusif,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pembangunan Buku Filipina (BDAP), Andrea Pasion-Flores turut menyuarakan kepentingan menerbitkan lebih banyak buku dalam bahasa tempatan.

Katanya, mesej serta emosi dalam sesebuah karya lebih berkesan disampaikan apabila ditulis dalam bahasa sendiri yang mencerminkan budaya sesebuah masyarakat.

“Di Filipina, kami menghadapi masalah kerana terlalu bergantung pada bahasa Inggeris dalam percakapan seharian.

“Oleh itu, tidak ramai penerbit melihat keperluan untuk menterjemah buku ke dalam bahasa tempatan, yang menyebabkan industri terjemahan tidak berkembang,” katanya.

Asian Rights Fair 2025 yang berlangsung sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025  itu menghimpunkan penerbit buku dari 21 negara asia bagi pertukaran hak cipta dan kerjasama dalam industri penerbitan serantau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN