ALOR GAJAH: Golongan belia digalakkan merebut peluang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang menawarkan kursus mengikut keperluan pasaran guna tenaga bagi menjamin peluang pekerjaan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, peluang tersebut wajar direbut kerana Melaka sedang mengorak langkah besar untuk menjadi pusat TVET negara.
Menurutnya, pelbagai usaha sedang digerakkan untuk mempergiatkan promosi kebolehpasaran graduan TVET di negeri ini.
Katanya, ia sejajar dengan kemajuan industri minyak dan gas negara yang dijangka terus berkembang dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 1.4 peratus sehingga tahun 2030 dengan sasaran peningkatan tenaga kerja sebanyak 25 peratus setiap tahun.
“Ini adalah petanda positif yang menunjukkan permintaan terhadap kemahiran dalam sektor ini terus meningkat sekali gus memberi lebih banyak peluang kepada belia.
“Setakat ini, Melaka mempunyai 61 institusi TVET merangkumi pelbagai sektor, termasuk automotif, pembuatan, elektrik dan elektronik. Selain itu, lebih 30 syarikat turut aktif melaksanakan Kursus Induksi Sistem Latihan Dual Nasional.
“Kerajaan negeri yakin perkembangan industri ini mampu menjana lebih banyak peluang pekerjaan yang wajar direbut oleh golongan belia. Kita mahu mereka jadikan TVET sebagai pilihan pertama dan bukan pilihan kedua,” katanya pada majlis pelancaran Program Zero To Hero Penempatan Pekerja Bidang Scaffolding Minyak dan Gas di HRSB Holding Sdn. Bhd. Masjid Tanah di sini hari ini.
Ab. Rauf berkata, program Zero to Hero adalah platform transformasi yang memberi peluang kepada belia di negeri ini untuk menjalani latihan intensif dalam bidang scaffolding, khususnya dalam industri minyak dan gas.
Menurutnya, di bawah inisiatif ini, kerajaan negeri melalui Majlis TVET Negeri Melaka memperuntukkan sebanyak RM120,000 untuk memastikan program tersebut memberi manfaat kepada 30 belia yang layak, dengan jaminan penempatan kerja selepas tamat latihan.
“Saya difahamkan, sejak tahun 2014, anak syarikat HRSB iaitu Blitz Training & Consultancy telah melatih lebih 14,000 peserta dalam bidang scaffolding dan daripada jumlah tersebut, lebih 90 peratus berjaya diserap ke dalam sektor industri,” ujarnya.
Jelasnya, ia adalah langkah tepat dan proaktif yang perlu diperluas bagi memastikan belia Melaka dilengkapi kemahiran yang relevan, kompeten dan diiktiraf oleh industri. – UTUSAN