KUALA LUMPUR: Bekas ketua kerani kewangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 22 pertuduhan menggunakan dokumen palsu melibatkan resit rasmi Kerajaan Malaysia berjumlah RM63,923.20.
Tertuduh, Mizatul Hafiza Mohamad, 41, yang kini bekerja sebagai penolong pegawai pentadbiran di sebuah jabatan agama mengaku bersalah atas semua pertuduhan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.
Mengikut pertuduhan, Mizatul Hafiza didakwa menggunakan resit rasmi kerajaan Malaysia yang palsu atas nama Kuarters Balai Polis Sri Hartamas, Shabak Enterprise, Persatuan Penduduk Perumahan Polis Balai Kepong, Berek Balai Polis Jinjang, Balai Polis Travers dan 11 entiti lain berjumlah RM63,923.20 di IPK Kuala Lumpur antara 8 September 2021 hingga 10 Mac lepas.
Berdasarkan siasatan, wang tersebut didakwa diserahkan kepada tertuduh untuk membayar bil-bil air bagi pihak penghuni kuarters dan berek berkenaan namun tiada sebarang pembayaran dibuat.
Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda.
Pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, M. Saravanan dan Noor Syafina Muhd. Redzuan memohon satu tarikh lain untuk fakta dan hukuman kerana pihak itu belum bersedia.
“Kami memohon satu tarikh dalam tempoh tiga minggu. Kami juga mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan,” katanya.
Bagaimanapun, Mizatul Hafiza yang tidak diwakili peguam memohon ikat jamin dikurangkan kerana perlu menanggung ibu bapa yang tidak sihat.
Hakim Azrul menetapkan ikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin untuk semua pertuduhan dan menetapkan 20 Jun ini untuk jatuh hukum.
Bekas kerani itu turut didakwa atas 21 pertuduhan mengguna resit kerajaan yang palsu berjumlah RM30,695.60 melibatkan 13 entiti termasuk anggota polis dan kuarters balai polis.
Wanita itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Hamidah Mohamed Deril.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara 1 September 2023 hingga 15 Januari lepas di tempat yang sama. – UTUSAN










