ISKANDAR PUTERI: Bekalan air menerusi tangki-tangki air dari daerah lain di negeri ini akan didapatkan bagi mengatasi gangguan bekalan di Johor Bahru susulan masalah pada enam pam utama yang menyalurkan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, langkah yang disifatkan sebagai mendesak itu perlu diambil ekoran pam yang rosak tersebut belum dibaiki sepenuhnya.
“Ranhill SAJ memaklumkan mengalami masalah enam pam yang rosak untuk daerah Johor Bahru yang menyebabkan ratusan ribu rumah tidak mempunyai bekalan air ketika ini.
“Masalahnya di Johor Bahru ini, tangki air ada tetapi bekalan air tidak ada. Jadi, air tidak dapat disalurkan ke kawasan perumahan.
“Jadi, kita tengah dapatkan bantuan daripada daerah lain dan Insya-Allah dari negeri lain juga untuk dihantar ke setiap kawasan perumahan Johor Bahru yang terlibat,” katanya ketika ditemui
pemberita sebelum menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan kira-kira 100,000 akaun pengguna di beberapa kawasan di daerah ini mengalami gangguan bekalan air akibat kerosakan luar jangka pam-pam utama yang menyalurkan air ke LRA Sungai Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh memaklumkan, kerosakan itu menyebabkan operasi LRA Sungai Johor terpaksa dihentikan sepenuhnya pada petang kelmarin. – UTUSAN