Bayaran permulaan mahal punca MyKiosk tiada sambutan

Bayaran permulaan mahal punca MyKiosk tiada sambutan

HANYA beberapa MyKiosk yang diletakkan di Taman Sri Impian disewa peniaga, selebihnya terbiar kerana didakwa ditempat di lokasi tidak strategik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Bayaran permulaan yang dikatakan mahal selain ditempatkan di lokasi kurang strategik didakwa menjadi punca utama kurangnya sambutan terhadap kemudahan MyKiosk di bandar ini.

Penjaja, Daud Othman, 55, yang menjual nasi ayam berkata, bayaran yang dikenakan termasuk bateri solar bernilai ratusan ringgit serta lesen dan sewaan amat membebankan, terutama­nya kepada individu yang baharu memulakan perniagaan.

Menurutnya, insentif khas sepatutnya diberikan seperti sewaan percuma dalam tempoh tiga atau empat bulan supaya para peniaga mempunyai modal asas yang mencukupi bagi menjalankan perniagaan.

“Apa yang berlaku sekarang, kebanyakan peniaga ini hanya mempunyai modal pusingan perniagaan agak terhad dan apabila diminta untuk membuat pelbagai bayaran, ia sudah tentu membebankan.

“Keadaan ini secara tidak langsung menghalang para peniaga meneruskan niat untuk menyewa MyKiosk dan mengambil langkah berjualan di tepi-tepi jalan tanpa tapak perniagaan khusus,” kata­nya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Daud, MyKiosk juga kurang mendapat sambutan daripada peniaga kerana ditempatkan di kawasan tidak strategik yang kurang dikunjungi orang ramai.

Dia berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemimpin setempat dapat membantu me­nempatkan MyKiosk di lokasi yang betul, selain tanpa pelbagai syarat membebankan.

“Kalau itu dilakukan ia pasti akan mendapat sambutan daripada peniaga.

“Oleh itu, tindakan segera perlu dilakukan sekiranya ingin melihat MyKiosk ini dipenuhi peniaga dan dikunjungi pelanggan daripada dibiarkan rosak akibat terbiar terlalu lama,” katanya.

Tinjauan akhbar ini mendapati, daripada 25 unit MyKiosk yang diletakkan di kawasan perniagaan Taman Sri Impian, hanya tujuh sudah disewa berdasarkan kain rentang dipasang serta dua peniaga sahaja yang menjalankan perniagaan.

Keadaan itu berbeza dengan MyKiosk yang dikendalikan oleh Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) apabila semua 50 unit disediakan termasuk 29 daripadanya di Hutan Bandar Simpang Renggam telah disewa oleh peniaga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN