PETALING JAYA: Pelakon, Ashraf Muslim mengumumkan dirinya selamat menimang cahaya mata lelaki, pada 10 Mei lalu.
Berita gembira itu dikongsikan oleh Ashraf menerusi sebuah hantaran di Instagram selain turut mengumumkan nama anaknya iaitu Ali Ashraf Mohd Ashraf.
“Alhamdulillah, syukur pada Allah S.W.T keluarga saya makin bertambah ahlinya. Selamat datang ke dunia, wahai anakku, Ali Ashraf Bin Mohd Ashraf
Lahirnya pada 10 Mei 2025, jam 2.57 pagi,” katanya.
Menurut Ashraf, kehadiran anak kelimanya itu memberikan sejuta makna dalam hidup mereka sekeluarga malah turut meninggalkan tanda pagar #HadiahTerindah.
Dalam perkongsian sama, pelakon drama bersiri Seribu Tahun itu turut mendoakan agar anaknya membesar menjadi anak yang soleh dan penyejuk hati.
“Hadirnya membawa sejuta syukur, selaut harapan. Wahai Ali, semoga anakanda membesar menjadi anak soleh, penyejuk mata dan hati bagi kami sekeluarga serta membesar dengan iman, akhlak yg terpuji dan keberanian.
“Terima kasih Allah atas segala-galanya. #AliAshraf #HadiahTerindah #terimakasihAllah #amanahAllah,” tulisnya di kapsyen.
Bagaimanapun, Ashraf tidak menyatakan secara terperinci mengenai kelahiran anak kelimanya itu sama ada hasil perkongsian dari isteri pertamanya, Noor Dayana Lokman atau isteri keduanya, Wan Sakinah Wan Saburi.
Terdahulu, Ashraf telah mendirikan rumah tangga bersama Dayana pada 2011. Hasil perkahwinan tersebut, mereka telah dikurniakan seorang anak lelaki, Anas Ashraf, 9, selepas empat tahun berkahwin.
Kemudian, pelakon itu telah melangsungkan perkahwinan keduanya bersama Sakinah pada 7Julai 2013 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Sarah Ashraf, 10, Adam Ashraf, 9, dan Safiyyah Ashraf, 5.-UTUSAN