KUALA LUMPUR: Memasuki hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 hari ini memberi tumpuan utama kepada pengukuhan kerjasama strategik serantau menerusi penganjuran dua sidang penting iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak trilateral ASEAN-GCC-China.
Kedua-dua sidang ini dijangka membuka lembaran baharu dalam memperluas kerjasama perdagangan, pelaburan dan pembangunan mampan, selaras dengan aspirasi ASEAN untuk memainkan peranan lebih besar dalam landskap geoekonomi Indo-Pasifik.
Menurut Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, agenda hari ini menyaksikan penganjuran Sidang Kemuncak BIMP-EAGA ke-16 (Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina East ASEAN Growth Area) dan Sidang Kemuncak IMT-GT ke-16 (Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand).
Beliau berkata, ia menjadi landasan penting dalam memperkukuh kerjasama pembangunan sub-rantau serta keterhubungan rentas sempadan negara anggota.
Katanya, ia akan memperkemas agenda pembangunan sub-rantau serta mengukuhkan keterhubungan rentas sempadan negara anggota.
“Sidang hari ini merupakan kesinambungan kepada momentum positif yang telah dicapai semalam dan dijangka memperkukuh lagi peranan Malaysia dalam mengetuai agenda kerjasama strategik ASEAN bersama rakan serantau dan global.
“Malaysia komited untuk memastikan Kepengerusian ASEAN 2025 menghasilkan keputusan yang berpaksikan prinsip dan memberi kesan langsung kepada rakyat ASEAN secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) Bersempena Sidang Kemuncak ASEAN K-46 yang disiarkan melalui Facebook PMO Malaysia, hari ini.
Tunku Nashrul berkata, pada hari pertama sidang semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam ucapan pembukaan plenari menekankan satu dekad sejak penubuhan Komuniti ASEAN telah membuktikan ketahanan luar biasa rantau ini dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.
“Beliau menegaskan “ASEAN Centrality” dan semangat persaudaraan antara negara anggota menjadi asas penting untuk memastikan ASEAN kekal bersatu dalam menghadapi perubahan geopolitik dan ekonomi dunia.
“Perdana Menteri turut menyifatkan Sidang Kemuncak trilateral ASEAN-GCC-China sebagai pencapaian penting yang mencerminkan keupayaan ASEAN untuk menyesuaikan corak kerjasama dengan realiti dunia multipolar masa kini,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, antara pencapaian utama hari pertama ialah pemeteraian Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Our Shared Future (Masa Depan Kita Bersama).
Katanya, ia merupakan visi strategik jangka panjang yang akan memacu pembinaan Komuniti ASEAN yang berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berpaksikan rakyat menjelang 2045.
“Visi ini digariskan melalui enam dokumen penting merangkumi lebih 500 langkah strategik, termasuk pelan strategik tiga tunjang komuniti ASEAN dan pelan keterhubungan serantau.
Fokus utama termasuk menjadikan ASEAN sebagai pasaran tunggal yang mampan dan pintar, serta komuniti inklusif yang menekankan pendidikan, kesihatan, peluang pekerjaan dan kesejahteraan sosial.
“Dokumen itu turut menekankan prinsip keamanan, multilateralisme dan tadbir urus baik serta mengangkat peranan golongan belia, wanita dan komuniti rentan dalam pembentukan masa depan rantau ini,” katanya.
Katanya, Perdana Menteri turut menghadiri sesi libat urus bersama Perwakilan Parlimen ASEAN (AIPA), wakil belia ASEAN dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC).
Sesi ini mencerminkan keterbukaan ASEAN terhadap pandangan rentas generasi dan sektor.
Beberapa mesyuarat dua hala turut berlangsung semalam, termasuk dengan pemimpin Kemboja, Singapura, China dan Kuwait.
Antara hasil utama ialah pemeteraian perjanjian Renewables and Interconnected Sustainable Energy (RISE) antara syarikat Malaysia, Singapura dan Vietnam serta rundingan lanjut berkaitan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-GCC.
Sebagai penutup hari pertama, Majlis Makan Malam Gala ASEAN diadakan sebagai simbol penghargaan kepada para pemimpin rantau ini serta menandakan permulaan hubungan yang lebih erat sepanjang tempoh Kepengerusian Malaysia bagi ASEAN 2025.
Malaysia kini berdiri teguh sebagai peneraju dalam merangka masa depan ASEAN yang adil, mampan dan berdaya saing, satu misi yang diangkat bukan sahaja di atas dasar diplomasi, tetapi juga demi kepentingan rakyat serantau. – UTUSAN