PETALING JAYA: Gabungan negara ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta China giat bersama meneroka potensi baharu dalam aspek pelaburan bernilai tinggi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha tersebut mampu mempertingkatkan aspek perdagangan dan pelaburan melibatkan pelbagai negara dengan asas kukuh.
Selain itu katanya, dengan pengukuhan kerjasama antara ASEAN, GCC dan China, gabungan itu mampu membina pertumbuhan yang stabil, berdaya tahan serta mampan.
“Pada tahun 2023, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN mencapai AS$ 3.8 trilion (RM17.8 trillion) menjadikannya ekonomi kelima terbesar di dunia. Manakala jumlah dagangan dengan GCC mencecah AS$130.7 bilion (RM613.39 trilion) dan pelaburan langsung asing (FDI) bernilai AS$ 390.2 juta (RM 1,833.94 trillion) .
“China pula kekal sebagai rakan dagangan terbesar ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai AS4696.7 billion (RM 3,274.49 bilion) dan pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak AS$17.3 (RM81.31 bilion) bilion.
“Potensi besar aspek perdagangan melibatkan negara ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta China yang masih belum menilai potensi besar dalam beberapa bidang,” katanya dalam ucapan pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ASEAN, GCC dan China mampu memanfaatkan kekuatan unik untuk membentuk masa depan yang lebih terhubung, berdaya tahan dan lebih makmur demi generasi akan datang.
“Sidang kemuncak ini akan menjadi lembaran baharu dalam perjalanan ASEAN untuk terus terbuka kepada dunia luar dan menunjukkan pencapaian yang boleh diraih rakan-rakan berganding bahu dengan saling menghormati serta berpandukan matlamat bersama.
“ASEAN sejak sekian lama telah membuktikan bahawa kerjasama serantau yang berpaksikan konsensus, saling hormat dan keterbukaan mampu berjaya. Kita telah membina hubungan kukuh dengan GCC dan China. Hari ini, kita berpeluang untuk mempertingkatkan lagi hubungan tersebut,” ujarnya.
Menurut Anwar lagi, sidang kemuncak melibatkan ketiga-tiga gabungan itu membuka lembaran baharu dalam dialog dan kerjasama tiga rakan kongsi yang kaya dengan sejarah, tamadun, budaya, dan aspirasi bersama. – UTUSAN