SCHA Al-Yahya mempunyai pakej lengkap sebagai pelakon kerana dia bukan sahaja memiliki kecantikan tetapi juga aura dan kebolehan sebagai anak wayang.
Langkah kanan jelitawan berusia 41 tahun ini dalam dunia lakonan menerusi drama Impian Illyana pada tahun 2006 telah membuka mata ramai pihak terhadap bakat terpendamnya.
Dan rezeki tidak salah alamat apabila kebolehan Scha itu semakin dipandang menerusi watak Dania dalam drama Awan Dania.
Selepas kali terakhir muncul di layar perak menerusi filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa pada tahun 2022, tahun ini Scha kembali ke ‘gelanggang’ dicintainya menerusi filem Telaga Suriram.
Langkah anak jati Sungai Petani Kedah ini dalam dunia lakonan terus ke depan menerusi beberapa projek drama dan filem lain yang juga bakal menemui penonton sekitar tahun ini.
Jelas 2025 menjadi tahun untuk Scha kembali mengukir nama dalam bidang yang dicintainya. Kali ini Scha tidak mensia-siakan peluang kerana dia sudah bersedia untuk kembali aktif dalam bidang yang beberapa tahun ditinggalkannya.
“Tahun ini mungkin menjadi tahun kembalinya saya ke layar perak. Sebelum ini banyak kekangan dan tanggungjawab lain yang membuatkan saya terpaksa menolak tawaran berlakon. Ramai pihak yang terkejut kerana seingat mereka saya ini sudah beralih bidang.
“Sebenarnya sekarang saya sudah bersedia untuk kembali aktif berlakon. Anak-anak saya pun sudah besar dan mampu menguruskan diri mereka sendiri. Saya pula sudah mula miliki keberanian untuk tinggalkan keluarga demi keluar bekerja dan mengejar cita-cita saya. Kali ini berilah saya peluang untuk kejar impian saya,” katanya.
Scha sebenarnya beruntung kerana kembalinya dia dalam dunia lakonan adalah menerusi sebuah filem kuat iaitu Telaga Suriram. Ditambah lagi dengan watak yang cukup mencabar iaitu sebagai pegawai polis di era 80-an, Scha membuktikan bakat lakonan yang dimiliki tidak hilang sinarnya.
“Saya gerun apabila bekerja di bawah arahan Osman Ali dan berlakon di samping pelakon-pelakon hebat seperti Ellie Suriaty, Farid Kamil, Maya Karin, Nabila Huda dan ramai lagi.
“Tapi saya jelas dengan apa yang perlu saya lakukan untuk menghidupkan watak Inspektor Karmila kerana sejak sesi uji lakon lagi, Osman sudah secara terang-terangan memberitahu saya apa yang dimahukannya menerusi watak ini.
“Jadi saya sahut cabarannya yang mahu saya jayakan watak inspektor polis yang bukan stereotaip,” kongsinya.
POTONG RAMBUT DEMI KARMILA
Besar pengorbanan Scha Al-Yahya apabila dia terpaksa memotong rambut bagi memastikan wayak Karmila yang dibawakannya benar-benar menjadi.
Kata Scha, kesanggupannya memotong pendek uraian rambut panjang yang dimilikinya sekian lama didorong oleh keinginan untuk menjelmakan watak seorang inspektor polis yang bersikap tegas dan mempunyai sisi kemanusiaan yang tinggi.
“Saya anggap potong rambut untuk watak ini sebagai satu tanggungjawab walaupun saya terpaksa memotongnya berkali-kali,” kata Scha.
Lakonan dalam Telaga Suriram juga menghadirkan pelbagai cabaran buat Scha pertama kali membawa watak inspektor polis.
Namun dengan semangat dan keinginan untuk menghidupkan watak itu sebaiknya, selain dibantu rakan pelakon dan pengarah, Scha berjaya menjelmakan Karmila seperti yang dikehendaki Osman Ali.
“Sebenarnya banyak babak mencabar yang saya lakonkan antaranya babak dirasuk makhluk halus, berhalusinasi, masuk ke dalam gua dan terlihat makhluk mistik dan babak di dalam air. Tapi kebanyakan babak tersebut dipotong.
“Apa pun saya tetap gembira dan berpuas hati dengan hasil filem ini. Saya tidak sedikit pun kecewa kerana beberapa babak saya tidak ditayangkan. Yang penting saya selesaikan tugas dalam filem ini dengan membawa pulang ilmu,” kongsinya.
RALAT
Disember tahun lepas pelakon dan model berusia 41 tahun ini diuji dengan pemergian ibu tersayang, Junainah Hashim menemui pencipta akibat serangan jantung.
Dan tentunya Scha masih terkesan dan bersedih hati kerana menjadi impian arwah ibunya untuk melihat lakonannya dalam Telaga Suriram.
“Walaupun arwah ibu tidak bersama, saya tahu dia pasti bangga dengan saya, Insya- Allah.
“Saya agak ralat kerana arwah antara individu yang menanti lama untuk menonton lakonan saya dalam filem ini,” ceritanya.
Namun Scha bersyukur dengan kehadiran rakan pelakon dalam Telaga Suriram yang sentiasa memberi sokongan dan menyuntik semangat kepadanya.
“Saya sangat rapat dengan Ellie dan berasa sangat selesa menjadikan dia sebagai guru lakonan saya. Dia antara yang selalu ada bersama saya sebelum dan sepanjang penggambaran filem ini,” ujarnya.
“Sebenarnya bekerja dengan pelakon-pelakon bertaraf All Star ini sangat mudah dan menyenangkan. Persekitaran kerja kami positif, tidak timbul langsung keinginan bersaing sesama sendiri,” ujarnya.