Anwar ke Rusia hadiri Forum Ekonomi Antarabangsa

Anwar ke Rusia hadiri Forum Ekonomi Antarabangsa, kerjasama ekonomi Rusia-negara Islam

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan mengadakan lawatan rasmi ke Rusia bermula esok hingga 16 Mei ini bagi menghadiri Forum Ekonomi Antarabangsa XVI “Russia-Islamic World: KazanForum”.

Di Moscow, Perdana Menteri akan mengadakan mesyuarat peringkat tertinggi dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Perdana Menteri Rusia, Mikhail Mishustin.

Menurut Kementerian Luar, mesyuarat ini bertujuan menilai kemajuan hubungan dua hala serta memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang antaranya perdagangan dan pelaburan.

Ini termasuk kerjasama bidang pertanian dan agri-komoditi, pendidikan, aeroangkasa dan tenaga.

“Kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

“Sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025, Malaysia turut berhasrat meneroka peluang untuk memperkasakan kerjasama menerusi kerangka Hubungan Dialog ASEAN-Rusia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wisma Putra berkata, Anwar turut dijadual mengadakan sesi meja bulat bersama pemimpin industri; menyampaikan syarahan umum di Moscow State Institute of International Relations (MGIMO); serta mengadakan pertemuan bersama diaspora Malaysia di Moscow.

Di Kazan pula, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dengan Rais Tatarstan Rustam Minnikhanov dan menyampaikan ucaptama khas semasa Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik “Russia-Islamic World.”

“Kemuncak lawatan di Kazan adalah penyertaan Anwar dalam Forum Ekonomi Antarabangsa XVI “Russia-Islamic World: KazanForum” di mana beliau dijemput untuk menyampaikan ucaptama di sesi pleno.

“KazanForum merupakan platform utama bagi memupuk kerjasama ekonomi antara Rusia dan negara-negara Islam,” katanya.

Jelas Wisma Putra, lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Rusia di samping memperkasa kerangka kerjasama serantau dan pelbagai hala seperti ASEAN dan BRICS.

Pada tahun 2024, Rusia merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara Eropah, dengan jumlah dagangan mencecah RM11.46 bilion (AS$2.48 bilion).

Eksport utama Malaysia ke Rusia merangkumi produk elektrik dan elektronik, jentera, kelengkapan dan alat ganti, serta makanan yang diproses.

“Import dari Rusia pula terdiri daripada produk petroleum, mineral, serta bahan kimia dan produk berasaskan kimia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN