TELUK INTAN: Seorang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang mengalami kecederaan parah di bahagian abdomen dan kepala telah selesai menjalani pembedahan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.
Koperal Syed Irfan Syed Mohamad dilaporkan stabil dan kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr. Bakri Zainal Abidin berkata, anggota terbabit yang sebelum ini dirawat di zon merah Unit Kecemasan Hospital Teluk Intan dikejarkan ke HRPB semalam.
Katanya, mangsa memerlukan rawatan rapi ekoran kecederaan yang dialaminya.
“Ketika kejadian, anggota terbabit duduk di bahagian belakang trak FRU. Kemalangan itu menyebabkan mangsa mengalami pendarahan dalaman dan kerosakan pada abdomen selain pendarahan di kepala.
“Bagaimanapun, selepas pembedahan dijalankan, mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil dan ditempatkan di wad ICU,” katanya di sini hari ini.
Menurut Bakri, pihaknya akan merekodkan semua percakapan pihak yang terlibat dalam insiden itu termasuk anggota yang menyertai konvoi FRU dan pemilik lori muatan batu.
Katanya, setakat ini, seramai 60 saksi dalam kalangan anggota polis akan dirakam percakapan dalam masa terdekat.
“Bagi mengelakkan siasatan bersifat bias saya menyeru orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat untuk tampil membantu siasatan.
“Maklumat boleh disalurkan terus kepada saya di talian 017-8211326 atau pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Affandi di talian 017-5544054 atau talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak,” katanya. – UTUSAN