TELUK INTAN: Koperal Syed Isfan Syed Mohamad, 32, yang dilaporkan kritikal akibat kemalangan membabitkan kenderaan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dengan lori muatan batu di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik di sini Selasa lalu, kini menunjukkan perkembangan positif.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Feisul Idzwan Mustapha berkata, anggota polis itu yang telah menjalani tiga pembedahan kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.
Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan kompleks itu dirujuk dari Hospital Teluk Intan ke HRPB pada hari sama nahas berlaku, 13 Mei lalu.
“Pesakit mengalami kecederaan pelbagai termasuk pada paru-paru, organ hati dan limpa selain kecederaan tulang, tulang rusuk, kaki dan pinggul. Dia juga kemungkinan besar cedera pada buah pinggang dan pundi kencing
“Semasa dimasukkan ke HRPB pun, dia sudah menjalani tiga pembedahan di peringkat awal. Kita akan lihat kemungkinan pesakit ini perlu melalui pelbagai prosedur lain.
“Saya ada melawat di ICU semalam dan doktor pakar yang merawat pesakit memberitahu dia menunjukkan perkembangan baik walaupun keadaannya serius. Dia pun sudah mula sedar,” katanya dalam sidang akhbar di Hospital Teluk Intan, di sini hari ini.
Menurut beliau, empat lagi anggota FRU yang turut parah dalam nahas itu kini dirawat di ICU Hospital Teluk Intan dan kesemua mereka turut menunjukkan perkembangan positif.
Bagaimanapun katanya, hanya seorang daripada anggota itu yang memerlukan pemantauan rapi.
“Lima anggota FRU dirawat di Hospital Teluk Intan di mana empat daripada mereka berada di ICU manakala seorang lagi berada di wad biasa.
“Anggota di wad biasa ini juga menunjukkan perkembangan baik dan mungkin dia akan dibenarkan keluar hospital dalam masa terdekat,” katanya.
Untuk rekod, Koperal Mohd. Harrisul Ikhsan Mohd. Mahabudin, 39, yang juga pemandu trak FRU telah dibenarkan keluar hospital semalam selepas Lans Koperal Muhammad Aniq Taufiq Rozi, 26, pada Rabu dan Koperal Nizam Tarmizi, 38, pada petang hari kejadian.
Empat anggota FRU yang ditempatkan di ICU Hospital Teluk Intan ialah Koperal Haslizal Mohd Ali, 44; Sarjan Mazlan Mat, 50; Koperal Mohd. Izwan Ishak, 39; dan Sarjan Mohd. Parih Ali, 44. – UTUSAN