PUTRAJAYA: Amalan pembelian secara tergesa-gesa pada hujung tahun atau Christmas shopping dalam perkhidmatan awam perlu dielakkan kerana boleh menyebabkan pembaziran sumber berlaku, perlu dielak sama sekali.
Menurut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, laporan Ketua Audit Negara telah membangkitkan isu-isu pengurusan kewangan kerajaan namun isu penyelewengan dan pembaziran sumber awam masih berlaku.
Sehubungan itu katanya, dalam usaha mengangkat martabat negara, kerajaan beriltizam memperkukuh kemampanan dan tata kelola negara bagi mengembalikan keyakinan ramai pihak.
Ini kerana isu pengurusan kewangan kerajaan sentiasa mendapat perhatian Perdana Menteri, pengurusan tertinggi perkhidmatan awam, ahli politik, ahli akademik, media dan masyarakat.
“Jika dibiarkan isu ini menjadi semakin kompleks dan tiada penyelesaian yang tuntas, ia akan menjejaskan kredibiliti dan persepsi masyarakat terhadap penjawat awam secara umumnya.
“Penjawat awam perlu memastikan ketelusan, integriti, kebertanggungjawaban menjadi teras kepada prinsip-prinsip dalam tata kelola dan etika,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd. Radzi sempena perasmian Seminar Perakaunan Pengurusan Tahun 2025 bertemakan ‘Perakaunan Pengurusan: Daripada Data Kepada Pembuatan Keputusan’ anjuran Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan juga telah mengambil langkah positif ke hadapan dengan melaksanakan pindaan Akta Audit 1957 yang akan memberi impak positif melalui skop pengauditan terhadap pengurusan wang awam.
Jelasnya, ia di samping memastikan syor audit sentiasa diberi perhatian serius dan diambil tindakan sewajarnya oleh semua pihak sama ada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan serta mana-mana badan termasuk syarikat yang menerima wang awam.
“Kerajaan Madani memberikan tumpuan untuk mengoptimymkan perbelanjaan awam dengan menyemak semula dasar perbelanjaan dan pengagihan sumber yang terhad bagi memastikan kecekapan, keberkesanan dan nilai untuk wang,” katanya. – UTUSAN