Pesawah bimbang fenomena tasik Bukit Merah kering berulang

Pesawah bimbang fenomena tasik Bukit Merah kering berulang

KEADAAN Tasik Bukit Merah di Bagan Serai yang kering berikutan cuaca panas. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Paras air di Tasik Kolam Bukit Merah di sini yang menjadi sumber air utama untuk kegunaan penduduk tempatan surut berikutan cuaca panas.

Tinjauan semalam mendapati paras air tasik yang turut digunakan untuk tujuan pertanian terutama sawah padi di Kerian serta kegunaan perindustrian di Taiping kini surut sehingga menampakkan tunggul-tunggul kayu di dasarnya,.

Kawasan yang kering itu juga kini dianggar jauh sehingga lebih 900 meter dari pelantar nelayan darat di Kampung Selamat di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Fenomena air surut di tasik itu berlaku hampir setiap kali musim panas dan kali terakhir keadaan yang sama berlaku pada Ogos tahun lalu.

Keadaan itu membimbangkan pesawah di sekitar Bagan Serai, Alor Pongsu, Gunung Semanggol dan Selinsing yang mungkin berdepan masalah kekurangan air kerana tasik tersebut merupakan sumber utama air untuk sawah padi. .

Pesawah, Azhar Hashim, 57, berkata, paras air tasik yang semakin merosot menimbulkan kebimbangan apabila parasnya menghampiri tahap kritikal sehingga boleh menjejaskan sistem pengairan sawah padi di sini.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) berkata, buat masa ini bekalan air ke sawah masih disalurkan secara bergilir melibatkan sistem giliran tiga hari bagi setiap kawasan .

Namun begitu, beliau menjangkakan situasi berkenaan mungkin tidak mampu bertahan lama jika paras air tasik terus menurun dan cuaca panas berpanjangan.

“Hujan ada turun sekejap pagi tadi sekitar pukul 5 hingga 6 pagi, tetapi belum cukup untuk mengimbangi keperluan harian tanaman padi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Menurutnya, lebih membimbangkan mengikut prosedur operasi standard (SOP), saliran air bagi sawah padi bakal dihentikan sekiranya paras air tasik terus menurun dan akan menjejaskan tanaman padi kerana ada kawasan sawah yang telah kering sepenuhnya.

Sementara itu, Ketua Unit Peladang Kawasan Parit Haji Ali Masjid Tinggi, Muslan Mohd. Napiah, 50, berkata, masalah kekurangan air untuk sawah berlaku setiap kali musim kemarau dan mahu pihak berkenaan membawa isu itu ke peringkat kementerian.

“Usaha perlu dilakukan untuk mendalamkan dasar tasik dan membaiki sistem pengairan yang rosak. Ini kerana banyak pintu air saliran di kawasan terlibat berada dalam keadaan rosak, menyebabkan air yang sepatutnya digunakan untuk pengairan sawah, akhirnya mengalir sia-sia ke sungai.

“Pintu-pintu air perlu dibaiki dan dikaji semula sistem masuk dan keluar air. Apabila terlalu banyak yang rosak, air terbuang begitu saja ke sungai. Kita tidak mahu perkara sia-sia macam ini terus berlaku,” ujarnya.

Tahun lalu, keadaan tasik yang kering menyebabkan kerajaan melakukan pembenihan awan.

Masalah bekalan air yang berlaku disebabkan penyusutan paras air tasik itu menyebabkan kerajaan menyalurkan peruntukan besar bagi melaksanakan projek penyaluran air di Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah.

Langkah itu juga bagi menyelesaikan masalah kekurangan bekalan air pada musim kering khususnya untuk tujuan pertanian yang melibatkan kawasan di sekitar Bagan Serai dan Parit Buntar dan mengurus soal bekalan air dan isu banjir dengan lebih baik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini