SHAH ALAM: Penyanyi rock, Datuk Nash masih memberi tumpuan kepada proses pemulihan selepas dibenarkan keluar hospital beberapa hari lalu susulan kecederaan yang dialami dalam kemalangan, baru-baru ini.
Nash, 67, bersyukur kerana kesakitan yang dialaminya semakin berkurangan, namun beberapa kecederaan pada tubuhnya menyebabkan beliau perlu berehat dan belum bersedia untuk kembali membuat persembahan.
“ Saya masih berasa sedikit sakit di bahagian rusuk kiri akibat kemalangan itu.
“Bahagian hidung mengalami keretakan, manakala kaki kanan masih bengkak, tetapi keadaannya semakin beransur pulih,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Seksyen 7, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), 99 Kebajikan Insan Selangor (Kesan), Sahabat Amal Selangor dan Prihatin Selangor.
Minggu lalu, Utusan Malaysia melaporkan Nash mengalami kecederaan pada bahagian muka sehingga memerlukan 52 jahitan selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta.
Nash, yang nama sebenarnya Nashrudin Elias, berkata kemalangan itu berlaku ketika beliau dalam perjalanan pulang selepas menunaikan solat Isyak di sebuah surau berhampiran kediamannya.
Menurutnya, buat masa ini beliau mahu memberi keutamaan kepada pemulihan kesihatan sebelum kembali aktif dalam bidang seni bagi meneruskan pencarian rezeki.
“Selepas kemalangan itu, saya terpaksa membatalkan semua persembahan serta jemputan di seluruh negara, termasuk di sekitar Shah Alam.
“Bagaimanapun, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada sahabat dan saudara-mara yang datang melawat, khususnya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang sudi menziarahi saya di hospital selepas kemalangan minggu lalu,” katanya.











