PRN Sabah: Tiada parti dijangka peroleh majoriti kukuh

PRN Sabah: Tiada parti dijangka peroleh majoriti kukuh

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dinamik politik Sabah dilihat kekal tidak menentu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) susulan wujudnya pelbagai blok politik menyu­karkan mana-mana pihak untuk memperoleh majoriti kukuh.

Pakar Komunikasi Politik, Perhubungan Awam Kerajaan dan Perang Saraf dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Syahruddin Awang Ahmad berkata, amat sukar untuk meramalkan secara mutlak gabungan atau parti mana yang mampu mendominasi PRN kali ini.

“Persekitaran politik Sabah sentiasa berubah-ubah. Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mungkin mengekalkan status quo, namun isu kerjasama dengan parti nasional serta cabaran daripada pembangkang seperti parti Warisan tidak boleh diketepikan.

“Walaupun mereka dilihat akan berusaha mempertahankan kedudukan sebagai kerajaan sedia ada, perpecahan dalaman dan isu-isu tempatan seperti hak negeri serta pembangunan ekonomi mampu mengubah sokongan pengundi.

“Warisan yang kini bertan­ding secara solo, turut dijangka memberi saingan sengit khususnya di kawasan pantai timur negeri itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, Syahruddin berkata, kekurangan kesatuan dalam kalangan pembangkang boleh menjadi penghalang besar untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

“Walaupun Warisan bergerak secara bersendirian, kemungkinan tetap ada untuk mereka membentuk pakatan taktikal bersama parti-parti kecil lain yang tidak bersama GRS, namun perpecahan undi tetap menjadi isu utama.

“Perikatan Nasional (PN) melalui komponen seperti Pas dan Bersatu mungkin berusaha mengukuhkan pengaruh, namun dijangka hanya mempunyai sokongan minimum berbanding GRS dan Warisan,” katanya.

Katanya, PRN kali ini juga dijangka menyaksikan pertandingan lebih daripada dua penjuru dengan penyertaan pelbagai parti tempatan dan nasional termasuk Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Bangsa Malaysia (PBM), Barisan Nasio­nal (BN), Pakatan Harapan serta calon-calon bebas.

“Situasi ini menjadikan landskap politik Sabah masih berpecah dan pertandingan pelbagai penjuru pasti menyukarkan laluan mana-mana parti untuk memperoleh kemenangan besar.

“Sebagaimana dalam PRN 2020, keputusan akhirnya mungkin berpihak kepada gabungan yang berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti tipis hasil undi yang terpecah,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik, Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, kehadiran pengundi muda dalam landskap politik Sabah dijangka akan membawa kelainan yang signifikan dalam PRN kali ini.

“Pengundi muda mempunyai citarasa yang berbeza dengan pengundi veteran kerana mereka lebih melihat kepada idea yang dibawa oleh parti itu.

“Bagaimanapun, pengundi muda masih terikat dengan uniknya politik Sabah iaitu bergantung kepada seorang pe­mimpin politik dan juga auranya. Pemimpin yang ada aura istimewa akan jadi pilihan. Itu trend politik Sabah,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×