Ringgit antara 20 mata wang berpengaruh dunia

Ringgit antara 20 mata wang berpengaruh dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kedudukan ringgit Malaysia dalam kelompok 20 mata wang paling berpengaruh di dunia mencerminkan asas ekonomi negara stabil serta keyakinan pelabur terhadap prospek jangka panjang Malaysia.

Antara faktor utama yang menyokong pengukuhan nilai ringgit termasuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang stabil, lebihan dagangan yang konsisten dan rizab mata wang asing yang mencukupi.

Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, sektor eksport negara seperti minyak sawit, petroleum, gas asli cecair (LNG) dan produk elektronik menyumbang kepada aliran masuk mata wang asing yang positif. Ini secara langsung memperkukuh nilai ringgit.

Katanya, dasar fiskal dan kewangan berhemah yang dilaksanakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), termasuk kadar faedah yang kompetitif dan kawalan inflasi yang berkesan, turut meningkatkan keyakinan pelabur asing.

“Malaysia turut diiktiraf sebagai hab kewangan Islam global menerusi pasaran sukuk yang pesat berkembang dan kini antara yang terbesar di dunia.

“Perkara itu secara tidak langsung meningkatkan permintaan terhadap ringgit,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Jelas beliau, kestabilan politik serta dasar kerajaan yang mesra pelaburan, seperti pemberian insentif cukai dan kemudahan perniagaan, menjadikan Malaysia pilihan utama pelabur asing khususnya dalam sektor teknologi dan perkhidmatan kewangan.

“Gabungan semua faktor ini mampu melonjakkan kedudukan ringgit sebagai antara mata wang utama dunia, bukan sahaja dari segi kecairan pasaran malah juga dari segi pengiktirafan antarabangsa,” katanya

Terdahulu, kajian yang dilakukan oleh Seasia Stats berdasarkan data daripada Society for Worldwide Interbank Financial Telecommunication (SWIFT) menunjukkan ringgit Malaysia telah tersenarai sebagai salah satu daripada 20 mata wang paling berpengaruh di peringkat global.

Menurut laporan itu, ringgit berada di kedudukan ke-20 dengan mencatatkan penguasaan sebanyak 0.21 peratus daripada keseluruhan urus niaga antarabangsa.

Selain ringgit, mata wang Hungary (forint) dan Thailand (baht) turut berada dalam senarai dengan pegangan masing-masing sebanyak 0.21 dan 0.28 peratus, sekali gus mencerminkan kedudukan signifikan ketiga-tiga mata wang tersebut dalam pasaran kewangan global.

Sementara itu, Profesor Madya Fakulti Perakaunan, Perniagaan dan Ekonomi, International College of Advanced Technology Sarawak (i-CATS) University College, Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, nilai sesebuah mata wang bergantung kepada keyakinan terhadap kestabilan ekonomi dan kekuatan asas kewangannya.

“Peningkatan urus niaga dalam denominasi ringgit memberi kesan positif kepada permintaan mata wang tempatan. Malaysia mempunyai hubungan dagangan kukuh dengan kuasa ekonomi besar seperti China dan Singapura.

“Apabila lebih banyak urus niaga dijalankan menggunakan ringgit tanpa melalui dolar Amerika Syarikat, permintaan terhadap ringgit akan meningkat secara langsung,” katanya.

Menurut Abu Sofian, beberapa indikator makroekonomi seperti inflasi yang terkawal, lebihan akaun semasa serta pertumbuhan ekonomi yang stabil turut menyumbang kepada keyakinan pelabur.

Menyentuh mengenai potensi ringgit untuk kekal tersenarai dalam kelompok mata wang utama dunia, beliau berkata, ringgit perlu mencapai kecairan pasaran yang tinggi, digunakan secara meluas dalam perdagangan antarabangsa serta diyakini oleh pelabur global.

“Antara langkah ke arah itu termasuk memperluaskan penggunaan ringgit dalam transaksi rentas sempadan melalui kerjasama pertukaran mata wang dua hala dan memastikan pasaran kewangan Malaysia terbuka serta telus kepada pelabur antarabangsa.

“Usaha memperkukuh kedudukan ringgit perlu dilaksanakan secara menyeluruh melibatkan kerjasama erat antara kerajaan, Bank Negara Malaysia (BNM) dan komuniti perniagaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×