TIADA siapa menyangka gadis jelita dan rajin tersenyum ini sebenarnya menghidapi masalah sakit tulang belakang atau slip disc sejak kecil. Menurut pelakon meningkat naik, Alya atau Nur Alya Iman Azmil, 24, semuanya bermula dengan kejadian terjatuh semasa menunggang kuda.
Tidak hanya tulang belakang, anak kepada pelakon Allahyarham Azmil Mustapha ini juga mengalami sakit lutut dan keadaan kaki yang lemah khususnya semasa menaiki tangga.
“Sebenarnya saya mempunyai masalah di bahagian kaki dan tulang belakang. Kaki saya lemah. Manakala saya juga mempunyai masalah sakit tulang belakang.
“Lama sebenarnya saya ada masalah ini sejak kecil lagi sebab jatuh kuda. Jadi pergerakan saya agak terhad. Ia membuatkan saya ‘rapuh’ dan senang sakit.
“Dekat lutut kita macam ada ‘gel’, tapi bila kita semakin berusia, gel itu akan hilang. Tapi pada usia saya 24 tahun, gel saya itu sudah tiada. Setiap kali naik dan turun tangga, saya rasa macam lutut sedang bergeser,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, bagi mengatasi masalah itu, Alya tekun melakukan pemeriksaan selain menjalani sesi fisioterapi. Semua tidak tidak mematahkan impiannya untuk berlakon dalam naskhah bergenre aksi.
“Setakat ini saya lakukan fisioterapi dan kekal ‘fit’. Ada juga yang cadangkan lakukan pembedahan tapi saya tidak berani kerana berisiko. Jadi, saya tahan sahajalah.
“Tapi saya tidak mahu jadikan ia kelemahan sebaliknya cabaran yang perlu saya hadapi. Saya sedang dalam fasa pemulihan.
“Saya betul-betul mahu dapat sebuah tawaran yang saya boleh tunjukkan semua kebolehan saya. Saya yakin boleh lakukannya cuma saya kena jalani sesi fisioterapi dan kekal ‘fit’.
“Jika dapat naskhah aksi, sakit atau tidak saya tetap akan lakukan,” tegasnya.
Terimbau trauma lalu
Dalam perkembangan lain, Alya menyandang watak utama sebagai Elena menerusi siri terbaharu VIU bertajuk Pabila Dia Tersenyum. Membawakan karakter gadis yang selalu dipukul dan kehilangan bapa, Alya tidak menafikan lakonannya itu sangat dekat dengan perjalanan hidupnya.
“Saya boleh kata, saya betul-betul boleh rasai karakter Elena. Banyak juga yang saya belajar daripadanya. Ada beberapa adegan membuatkan saya terimbau kembali trauma lama dalam kehidupan. Ia sangat menakutkan. Tapi saya bersyukur, kerana itu jugalah membuatkan saya menghayati watak Elena.
“Saya tidak mahu bercakap lebih dalam mengenainya tapi cukuplah orang tahu ia berkaitan dengan isu kemarahan,” katanya ketika ditanya media apakah trauma yang dimaksudkan.
Bagaimanapun, Alya sedih mengenangkan projek lakonannya kini sudah tamat selain menyifatkan pasukan produksi drama ini antara yang terbaik pernah dia terlibat.
“Saya suka sangat bekerja untuk drama ini daripada sebelum penggambaran sampailah penggambaran habis.
“Ini merupakan pasukan dan projek terbaik yang pernah saya terlibat,” katanya.
Pabila Dia Tersenyum merupakan drama romantik dan kekeluargaan 15 episod diadaptasi daripada novel karya Liza Nur. Drama ini mula ditayangkan bermula 24 April 2025 di platform penstriman VIU.