BANGI: Suami Zehra Zambri, Nur Mohd. Iqwan Samsudin mendedahkan telah memfailkan laporan polis berkaitan keganasan rumah tangga membabitkan isterinya.
Katanya, kertas siasatan mengenai kes tersebut telah dibuka semula selepas pendedahan mengenainya dibuat April lalu.
“Kemudian pada bulan yang sama saya dan isteri dipanggil untuk memberi keterangan di balai polis.
“Peguam saya memaklumkan wujud prima facie yang membolehkan polis membuat pendakwaan.
“Jadi kenapa perlu saya biarkan dakwaan (keganasan rumah tangga) terhadap saya dikekalkan sedangkan ia sepatutnya digugurkan,” katanya yang ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi, di sini.
Pasangan suami isteri itu hadir ke prosiding pelantikan wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) di mahkamah tersebut pagi tadi.
Sesi JKP kes perceraian penyanyi itu ditangguhkan kepada 14 Mei ini ekoran ketidakhadiran wakil JKP Iqwan hari ini.
Mengulas lanjut, Iqwan mengesahkan pendakwaan bakal difailkan terhadap Zehra selepas siasatan polis terhadap kes keganasan rumah tangga selesai.
“Siasatan sudah dijalankan, bukti sudah pun diserahkan. Polis telah datang ke lokasi untuk ambil gambar.
“Kami berdua sudah dipanggil polis, saya hadir ke balai polis dua kali untuk rakamkan keterangan.
“Kemudian nanti akan ada pendakwaan. Tapi saya tidak pasti prosedurnya bagaimana,” katanya.
Zehra pada 7 Mac lepas memfailkan cerai terhadap suaminya dengan mengemukakan lima sebab tuntutan antaranya tiada persefahaman suami isteri, culas menjalankan tanggungjawab, sikap suami, pengabaian serta perkahwinan yang sudah tidak dapat diselamatkan. – UTUSAN