GANGNEUNG: Kemarau luar biasa memaksa bandar pantai di Korea Selatan mengenakan sekatan air ketat, termasuk menutup tandas awam serta membatalkan acara sukan, sekali gus menonjolkan cabaran iklim yang dihadapi negara itu.
Presiden Lee Jae Myung minggu lalu mengisytiharkan Gangneung sebagai kawasan bencana negara, dengan penduduk kini berdepan sekatan bekalan air.
Pihak berkuasa memaklumkan, kekeringan berpanjangan memaksa 75 peratus meter air rumah ditutup, menyebabkan kira-kira 200,000 penduduk menerima tekanan air jauh lebih rendah daripada biasa.
Datuk Bandar, Kim Hong-kyu pada Jumaat memaklumkan bekalan air akan diputuskan di 123 lokasi, termasuk 113 kompleks pangsapuri dan 10 hotel besar.
Menurut pihak bandar, tangki simpanan air di lokasi terbabit dijangka mampu bertahan selama dua hingga tiga hari, sebelum penghantaran kecemasan menggunakan lori tangki dimulakan.
“Gangneung kini mengalami kemarau paling buruk dalam tempoh 108 tahun sejak pemerhatian meteorologi bermula.
“Kita boleh bertahan menghadapi kemarau jika semua orang berjimat cermat dan menggunakan air dengan berhemah,” katanya kepada pemberita.
Gangneung minggu ini menutup semua kemudahan sukan yang dikendalikan pihak majlis, termasuk kolam renang, gelanggang tenis dan kelab golf, bagi mengurangkan masalah kekurangan air, menurut seorang pegawai bandar.
Dalam kenyataan berasingan, pihak bandar memaklumkan keputusan itu dibuat bagi menghadapi kemarau berpanjangan selepas paras air di Takungan Obong, sumber utama bekalan air bandar, merosot mendadak kepada bawah 15 peratus.
Satu perlawanan bola sepak divisyen ketiga kebangsaan akan diadakan tanpa penonton, manakala acara sukan lain dibatalkan atau ditangguhkan.
Sebahagian penduduk Gangneung terpaksa mengambil bekalan air botol besar di pusat pandu lalu, manakala pekerja majlis turut mengedarkannya ke kompleks pangsapuri.
Gangneung hanya menerima 38.77 sentimeter hujan dalam tempoh enam bulan lalu, iaitu 45.3 peratus daripada purata biasa.
Minggu ini, Korea Selatan turut mengesahkan mengalami musim paling panas dalam sejarah pada 2025, mengatasi rekod sebelumnya yang dicatatkan tahun lalu.- AFP










