PETALING JAYA: Seramai 17 kanak-kanak antara 85 warga asing yang diselamatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam kerana dieksploitasi menjadi buruk paksa di negara ini.
Menerusi operasi Op Pintas Mega yang dilaksanakan Bahagian Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom), D3, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman itu telah menyerbu 35 lokasi i seluruh negara secara serentak.
Operasi yang dijalankan dalam secara bersepadu bersama agensi-agensi penguatkuasaan lain termasuk Majlis Antipemerdagangan Orang (Mapo), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu turut menahan 175 individu.
Pengarah JSJ, Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, mereka ditahan terdiri warganegara tempatan dan warga asing dari Thailand, India, Bangladesh, Indonesia, Pakistan, Filipina, Myanmar, Nepal dan China.
Kata beliau, mereka diselamatkan terdiri dari 58 lelaki dewasa dan wanita (10) diikuti kanak-kanak lelaki (16) dan perempuan (seorang) di bawah Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (akta 670).
“Kesemua mangsa diselamatkan terdiri dari warganegara tempatan, Filipina, Indonesia, Bangladesh, Pakistan dan Myanmar disyaki menjadi mangsa pemerdagangan orang bagi tujuan eksploitasi buruh paksa.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 12 dan Seksyen 14 Akta Atipsom 2007 selain Seksyen 55b, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, peraturan 39(b) peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, fokus operasi adalah mengenalpasti mangsa pemerdagangan orang dalam sektor perkhidmatan, sektor perladangan, eksploitasi buruh kanak-kanak, sindiket pengemis berpandukan kepada national guideline on human trafficking indicators (nghti) 2.0.
“PDRM memandang serius ke atas aktiviti jenayah pemerdagangan orang dan tindakan tegas akan dilaksanakan terhadap mana-mana individu dan kumpulan jenayah yang melakukan jenayah ini.
“Kerjasama daripada masyarakat amat dialu-alukan sekiranya mempunyai maklumat tentang jenayah pemerdagangan orang. Sebarang maklumat boleh disalurkan ke mana-mana balai polis yang berdekatan,” jelasnya. – UTUSAN