PUCHONG: Biro Pemuda Kariah Masjid Nurul Iman akan menganjurkan 5K Charity Fun Run dengan sasaran lebih 500 peserta dari seluruh negara bagi mengumpul dana untuk membantu mangsa yang masih terjejas di Kampung Kuala Sungai Baru.
Program ini turut memohon sokongan dan sumbangan daripada NGO dan penaja untuk membantu dari segi kewangan, barangan serta khidmat sukarelawan sepanjang penganjuran.
Timbalan Nazir Masjid Nurul Iman Kampung Tengah, Mohd. Badly Nordin, 40, berkata, kebanyakan mangsa bergantung pada sumber ekonomi daripada penyewaan rumah dan perniagaan kecil, namun kini hilang semuanya dalam kebakaran lepas.
Katanya, mangsa yang terlibat adalah pemilik rumah di Lot 4 hingga Lot 9, Kampung Kuala Sungai Baru serta Kampung Tengah, yang kehilangan tempat tinggal dan sumber pendapatan sepenuhnya.
“Ramai yang hilang bukan sekadar rumah tetapi juga mata pencarian dan tempat bergantung. Ada yang masih trauma sehingga kini.
“Larian sejauh lima kilometer itu akan bermula dari pekarangan Masjid Nurul Iman Kampung Tengah, melalui Sungai Klang, seterusnya ke Kampung Kuala Sungai Baru sebelum berpatah semula ke masjid berkenaan.
“Program ini adalah solidariti kepada mangsa dan tidak menggunakan dana masjid. Ia digerakkan sepenuhnya oleh Biro Pemuda masjid Nurul Iman dan disokong penaja rasmi RunBikeAway milik Annuar Salehan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd. Badly menambah, peserta boleh mendaftar di laman web runaway.com.my dan akan menerima jersi serta medal. Yuran pendaftaran adalah RM50 kepada 200 peserta terawal dan kepada RM70 peserta selepas itu.
“Sumbangan daripada NGO dan individu seluruh Malaysia juga dialu-alukan bagi membantu menggerakkan program dan terus menyalurkan bantuan kepada mangsa.
“Orang ramai yang ingin menyumbang dana untuk program atau terus membantu mangsa letupan ini boleh menghubungi saya di talian +60 13-333 5272,” ujarnya.
Tambah beliau, selain kutipan dana, program ini bertujuan menyuntik semangat serta sokongan moral kepada mangsa yang masih terkesan dengan tragedi tersebut. – UTUSAN