KUALA LUMPUR: Seorang guru mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua murid lelaki, tahun lalu.
Tertuduh, Kumpul, 40, yang juga warganegara Indonesia, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Noridah Adam.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh yang mempunyai hubungan amanah sebagai seorang guru didakwa melakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak lelaki, masing-masing berusia 11 tahun tujuh bulan dan 10 tahun ketika kejadian.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah sekolah rendah agama di Wangsa Maju, dekat sini, antara April 2024 hingga November 2025.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 16(1) akta sama.
Seksyen 14(a) memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan manakala Seksyen 16(1) membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan tidak kurang daripada dua sebatan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Pervinah Mohamad Yusof tidak menawarkan jaminan selepas mendapati maklumat pasport tertuduh tidak sepadan serta wujud risiko tertuduh melarikan diri.
Noridah kemudiannya tidak membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam diikat jamin. Mahkamah menetapkan 5 dan 21 Januari depan bagi pendengaran fakta kes dan hukuman. – UTUSAN










