5 universiti terkemuka Korea Selatan tawar pengajian percuma pelajar Mara

5 universiti terkemuka Korea Selatan tawar pengajian percuma pelajar Mara

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lima universiti terkemuka Korea Selatan bersetuju menawarkan 50 tempat pengajian percuma kepada pelajar Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana (Master) dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, persetujuan itu dicapai hasil rundingan bersama beberapa presiden universiti terbabit ketika lawatan kerja rasmi beliau ke negara berkenaan sebelum ini. 

Katanya, tawaran tersebut melibatkan jumlah tajaan bernilai RM30 juta. 

“Alhamdulillah, moga apa yang direncanakan ini memberi manfaat kepada pelajar-pelajar Melayu-bumiputera untuk menceburi bidang-bidang strategik berkepentingan negara masa depan,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, kelima-lima universiti berkenaan turut bersetuju menjalin kerjasama strategik dengan beberapa institusi pengajian tinggi Mara, antaranya Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech MARA (UPTM).

Kerjasama itu merangkumi pelaksanaan penyelidikan bersama dalam bidang semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), teknologi internet kebendaan (IoT), robotik dan tenaga boleh diperbaharui, dengan memanfaatkan fasiliti serta makmal berteknologi tinggi di Universiti Hanyang dan Universiti Seoul-Tech.

Dalam pada itu, Mara mendapat persetujuan bagi penempatan pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di institusi di bawah Institusi Pendidikan Mara (IPMa) seperti Institut Kemahiran Mara (IKM) dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) untuk menjalani latihan industri di syarikat gergasi Korea Selatan seperti Hyundai dan Samsung.

“Pelajar-pelajar di IPMa juga boleh menyambung pengajian di peringkat ijazah pertama dengan hanya menghabiskan dua tahun melalui kaedah pindahan kredit setelah selesai tiga tahun diploma di IKM, KKTM dan UniKL dalam bidang-bidang kejuruteraan, elektrik, elektronik, sains komputer, AI dan IoT,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN