48,000 terima manfaat daripada pelancaran Beras Cap Feri

48,000 terima manfaat daripada pelancaran Beras Cap Feri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Seramai 48,000 individu khususnya dalam kalangan mereka yang berpendapatan rendah telah menerima manfaat daripada pelancaran Beras Cap Feri sejak 19 Disember lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Sekuriti Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol berkata, jenama beras tempatan keluaran Pulau Pinang itu dijual melalui pelbagai pusat jualan dalam negeri yang mudah diakses oleh golongan terbabit.

“Sehingga 20 Mac lalu, sebanyak 16,000 beg (80 tan metrik) Beras Cap Feri telah dijual dengan hasil jualan berjumlah RM272,000,” katanya dalam Sidang Dewan Udangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Fahmi (PKR-Pantai Jerejak) menjawab soalan daripada Izhar Shah Arif Shah (Bersatu-Seberang Jaya) mengenai jumlah kampit Beras Cap Feri yang telah diedar dan terjual di negeri ini sejak ia dilancarkan tahun lepas.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, jenama Beras Cap Feri itu menerima sambutan positif daripada orang ramai kerana harganya yang rendah iaitu RM17 sebungkus bagi pek lima kilogram (kg), antara yang termurah di pasaran.

Bagaimanapun katanya, buat masa ini, jenama itu masih dalam tempoh percubaan dan beras import masih digunakan untuk menampung kekurangan bekalan beras tempatan.

“Beras Cap Feri hanya dijual melalui Jualan Agro MADANI yang dianjurkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi memastikan ia sampai terus kepada kumpulan B40,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, kejayaan jenama Beras Cap Feri dapat dilihat berdasarkan jualan dalam setiap program Jualan Agro MADANI.

“Sehingga April tahun ini, sebanyak 32 program Agro MADANI telah diadakan di 32 lokasi berbeza di seluruh negeri dan Beras Cap Feri habis dijual dalam tempoh dua jam di setiap lokasi,” katanya.

Tambah beliau, buat masa ini juga, kerajaan negeri tidak menjalankan sebarang pemantauan atau tinjauan awam terhadap kejayaan program ini disebabkan kekangan kewangan, namun, bersedia berbuat demikian ada masa depan jika ada keperluan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN