PETALING JAYA: Sebanyak 635 pintu pagar automatik (autogate) akan dipasang di 125 pintu masuk negara menjelang 2028.
Perkara itu dijangka memudahkan proses pemeriksaan imigresen serta mengurangkan kesesakan di pintu masuk udara, darat dan laut, termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, penggunaan kemudahan autogate telah diperluaskan kepada pengembara warganegara, pelawat asing dari 63 buah negara berisiko rendah, pemegang pas lawatan jangka panjang yang layak, semua kakitangan diplomatik yang bertugas di Malaysia termasuk ahli keluarga mereka.
Katanya, pemasangan sejumlah besar autogate baharu di pintu-pintu masuk utama dijangka bermula secara berperingkat pada suku kedua tahun depan.
“Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga sedang melaksanakan sistem baharu seperti kod respons pantas (QR) untuk mempercepatkan pemeriksaan imigresen.
“Pengembara hanya perlu mengimbas kod QR yang mengandungi maklumat peribadi dan butiran perjalanan. Pelaksanaan kod QR telah dimulakan di laluan pejalan kaki dan bas di CIQ Johor, Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan dirancang untuk diperluaskan ke pintu masuk udara utama seperti KLIA,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Zakaria memberitahu, pelaksanaan itu adalah secara berfasa dari Oktober 2025 hingga Ogos 2028 bermula dengan pintu masuk utama hingga perluasan ke semua pintu-pintu masuk negara.
Ujarnya, jumlah autogate terkini yang telah dipasang adalah sebanyak 75 unit iaitu 36 unit dipasang di BSI, diikuti di KSAB (24), Pos Kawalan Imigresen Sungai Tujoh (enam); KLIA 1 (lima) dan KLIA 2 (empat).
“Kos pelaksanaan autogate adalah termasuk dalam kos keseluruhan projek ini,” jelasnya.
Zakaria memaklumkan, Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kini menggunakan gabungan kecerdasan buatan (AI), perisian dan peralatan.
Menurut beliau, salah satunya adalah pemeriksaan dokumen fizikal di mana pembaca pasport akan mengimbas Machine Readable Zone (MRZ).
“Kawasan ini memaparkan maklumat dalam bentuk yang boleh dibaca mesin, membolehkan sistem mengesan manipulasi cetakan, corak keselamatan yang tidak standard, font pelik, atau maklumat yang tidak sepadan.
“Selain itu, NIISe turut menggunakan cahaya infra merah dan ultra unggu untuk memeriksa ciri keselamatan fizikal pasport yang tidak boleh ditiru,” ujarnya.
Zakaria berkata, sistem baharu ini membolehkan semakan cip e-Passport termasuk membaca data dalam cip dan mengelaskan tandatangan digital.
Katanya, sistem itu juga mampu mengesan cip yang digandakan (cloned chip) serta pencerobohan data melalui teknologi pengesahan aktif dan pengesahan pasif bagi memastikan pasport lebih selamat dan sukar dipalsukan.
“Selain itu, sistem ini dilengkapi dengan pengesanan biometrik termasuk pengecaman wajah atau padanan cap jari yang dibandingkan dengan data dalam cip pasport.
“Jika wajah atau cap jari pemegang pasport tidak sepadan, pintu autogate tidak akan dibuka, justeru memastikan keselamatan sempadan lebih terjamin,” jelasnya.
Zakaria berkata, Jabatan Imigresen (JIM) akan menjalankan semakan masa nyata (real time)untuk menyemak senarai pemantauan, status imigresen, rekod lampau serta percubaan salah menggunakan identiti berganda.
“Sistem ini turut dapat mengesan anomalies (kejanggalan) termasuk ketidaksepadanan umur, jantina, negara asal dan pola perjalanan yang mencurigakan,” katanya. – UTUSAN










