PETALING JAYA: Ancaman serangan siber di Malaysia melebihi empat juta dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, antaranya didakwa berpunca daripada aktiviti penipuan berkaitan pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Menerusi laporan yang dikeluarkan Kaspersky, seramai 4,017,161 serangan siber dikesan antara Januari hingga Mac 2025, dengan purata lebih 44,000 serangan setiap hari membabitkan pengguna internet di seluruh negara.
Serangan ini membabitkan mesej palsu yang tersebar melalui WhatsApp dan Telegram, yang memerangkap pengguna melibatkan bantuan STR yang diagihkan sekitar Mac dan April.
Modus operandi penjenayah siber adalah menghantar mesej kononnya memaklumkan penerima sudah menerima bayaran STR dan mengarahkan mereka klik pautan untuk semak status pembayaran.
Mesej ini turut menggunakan Bahasa Melayu dan Cina yang dilengkapi imej palsu menyerupai laman web rasmi kerajaan, bagi mengelirukan mangsa supaya mempercayai maklumat tersebut.
Sekiranya pautan diklik, maklumat peribadi pengguna berisiko dicuri, aplikasi pesanan digodam, dan akaun pengguna mungkin diceroboh tanpa disedari.
Pengarah Urusan Asia Pasifik Kaspersky, Adrian Hia menegaskan taktik penipuan siber kini lebih licik dan mengambil kesempatan pada keadaan semasa untuk memperdaya pengguna.
Menurut Adrian, pengguna perlu mengaktifkan pengesahan dua faktor (2FA) dan memasang perisian antivirus bagi mengelak menjadi mangsa serangan.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak mudah terpedaya dengan mesej mengandungi pautan mencurigakan dan mengingatkan bahawa laman rasmi kerajaan hanya menggunakan domain “.gov.my”.
Sejak 1 September 2024, SKMM telah mengharamkan penghantaran SMS yang mengandungi pautan dan permintaan data peribadi sebagai langkah membendung penipuan dalam talian. – UTUSAN