Kerajaan Perkukuh Kawalan Penggunaan AI Dalam PRN Sabah

Kerajaan Perkukuh Kawalan Penggunaan AI Dalam PRN Sabah

Fahmi ditemui dalam sidang media selepas menyampaikan sumbangan Tabung Kasih @HAWANA. GAMBAR/NASRAWATI SYARIFUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU- Kerajaan akan memperkukuh langkah keselamatan siber bagi memastikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bebas daripada ancaman penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan jenayah siber.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pertemuan dengan beberapa penyedia platform media sosial termasuk TikTok telah diadakan bagi memperkemas aspek moderator tempatan, yang berperanan mengenal pasti kandungan tidak dibenarkan selaras garis panduan komuniti.

“Moderator memainkan peranan yang penting untuk mengenalpasti bahan-bahan yang tidak dibenarkan, berdasarkan garis panduan komuniti platform-platform bergantung harap kepada AI untuk mengecam kandungan yang melanggar garis panduan komuniti mereka.

“Masa yang sama, saya lihat cabaran menyalahgunakan AI untuk menghasilkan deepfake mungkin tidak disebar secara langsung atau terus melalui platform media sosial, tapi mungkin melalui sistem permesejan internet seperti Whatsapp, Telegram dan lain-lain lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan Sumbangan Tabung Kasih @HAWANA kepada pengamal media veteran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Ismail Lamo, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarang BERNAMA, Arul Rajoo Durar Raj.

Beliau berkata, perbincangan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut diadakan dalam masa terdekat untuk menilai tahap kesiapsiagaan menghadapi PRN Sabah.

“Memang kita jangkakan pilihanraya negeri yang akan datang ini akan rancak dihadiri oleh pelbagai kandungan dalam bentuk AI termasuk yang tidak dibenarkan.

“Pesanan awal saya, walaupun calon-calon belum dinamakan, bertandinglah dengan sihat, jangan tergantung pada fitnah untuk menang pilihan raya,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata, kementerian juga sedang meneliti bentuk sokongan yang sesuai untuk petugas media, terutama di kawasan luar bandar.

“kita akan mendapatkan maklumat daripada setiap organisasi media yang berdaftar dengan Jabatan Penerangan untuk mendapat maklumat berapa anggaran petugas yang akan berkhidmat sepanjang PRN.

“Pengalaman daripada PRN sebelum ini, kita dapati beberapa sokongan seperti bilik media yang disediakan Jabatan Penerangan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tertentu tidak lagi begitu relevan kerana kebanyakan wartawan kini membuat liputan terus di lapangan.

Beliau menambah, sokongan kepada petugas media amat penting bagi memastikan liputan PRN Sabah berjalan lancar, selaras dengan keperluan era digital.

“Jadi, kita akan adakan dalam masa yang terdekat untuk mendapatkan wish list daripada media bagi membantu mereka memudahkan kerja di lapangan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN