PETALING JAYA: Aliran penipuan kian membimbangkan apabila penjenayah siber mula mempergunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memperdaya mangsa.
Pegawai Penyiasat Kanan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), ASP Mohd. Zamri Mohd. Nor berkata, teknologi berkenaan digunakan berikutan ia mampu membuatkan jenayah penipuan kelihatan lebih nyata selain sukar untuk dikesan pihak berkuasan.
“Antara taktik terbaru digunakan oleh scammer adalah dengan mengambil gambar individu berpengaruh dan menggunakan teknologi AI untuk meniru suara dan wajah mereka,” katanya.
Pendedahan menakutkan ini dirungkai kepada kira-kira 150 peserta yang hadir ke Program Shield Up: Click, U Regret, berlangsung di Dewan Serbaguna Seroja, UiTM Shah Alam baru-baru ini.
Turut hadir Ketua Polis Bantuan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, SUPT Polis Bantuan Zakaria Ishak, Pensyarah penasihat program, Abuzar Abdul Halim dan Ketua Program, Nurul Shaza Salwa Sawal.
Program sehari ini bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar dan komuniti mengenai keselamatan diri di dalam dan luar kampus melalui kerjasama bersama PDRM.
Program ilmu ini dianjurkan oleh 31 pelajar tahun akhir jurusan Perhubungan Awam, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam di bawah agensi PREACH yang antara lain bertujuan memupuk budaya berwaspada dan tanggungjawab etika melalui dialog terbuka yang menyentuh aspek keselamatan, integriti dan peranan anggota penguat kuasa.
Ia turut memberi pendidikan kepada pelajar tentang penipuan digital dan langkah-langkah pencegahan, khususnya berkaitan taktik yang sering menyasarkan golongan belia dan komuniti universiti.
Sementara itu, Zakaria berkata, sebanyak tujuh kes penipuan melibatkan warga universiti telah dilaporkan sepanjang bulan lalu, melibatkan pelbagai modus operandi termasuk penyamaran, ugutan kewangan dan penipuan pembelian atas talian.
Abuzar berkata, inisiatif program itu bertujuan memberi ruang kepada pelajar untuk memahami cara mengenal pasti dan mengatasi taktik scammer dengan lebih berkesan.
“Melalui kaedah podcast yang lebih santai, pelajar mendapat lebih pendedahan tentang bagaimana untuk berhadapan dengan penipuan, termasuk langkah-langkah yang boleh diambil bagi melindungi diri mereka daripada menjadi mangsa,” katanya.
Manakala Nurul Shaza berkata, program berkenaan memberi kesedaran penting kepada pelajar mengenai ancaman digital yang kerap menyasarkan golongan belia dan komuniti universiti.
Pelbagai aktiviti sepanjang program memberi penekanan kepada usaha mempertingkatkan pemahaman terhadap strategi penipuan siber yang semakin meluas dan menekankan langkah pencegahan yang efektif. – UTUSAN










