RAUB: Seramai 35 warga asing ditahan dalam Op Gempur Sasar yang dijalankan Jabatan Imigresen (JIM) Pahang di sebuah tapak pembinaan di daerah ini, hari ini.
Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Nursafariza Ihsan berkata, operasi tersebut melibatkan kekuatan seramai 42 pegawai Imigresen dengan pemeriksaan dijalankan terhadap lebih 85 individu termasuk warganegara dan pemegang status pemastautin tetap (PR).
Katanya, hasil siasatan awal mendapati kesemua 35 individu yang ditahan melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta dan Peraturan-Peraturan Imigresen.
“Daripada jumlah itu, majoriti disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang diberikan. Sebanyak sembilan orang ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah manakala 10 lagi disyaki tinggal lebih masa,” katanya dalam sidang akhbar selepas operasi tersebut.
Nursafariza berkata, semua yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Kemayan, Bera bagi membantu siasatan lanjut.
“Sehingga semalam, sebanyak 1,203 PATI (pendatang asing tanpa izin) telah ditahan di seluruh Pahang sepanjang tahun ini manakala 58 majikan turut diberkas atas pelbagai kesalahan imigresen sejak Januari hingga April lalu,” katanya. – UTUSAN