SUBANG JAYA: Selepas 30 hari berlalu tragedi letupan paip gas di Putra Heights di sini, ia masih meninggalkan kesan mendalam kepada penduduk terjejas.
Majoriti penduduk di Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru kini bergelut dengan trauma dan mengalami kesukaran dalam proses pemulihan.
Alina Ariffin, 52, mengakui bahawa proses pemulihan selepas insiden bukanlah mudah kerana dia masih bergelut dengan trauma termasuk anak-anaknya.
“Kami masih berusaha untuk menstabilkan kehidupan harian seperti menguruskan kerja, sekolah anak-anak dan memastikan rumah kembali selamat didiami.
“Anak-anak saya antara yang paling terkesan hingga mengganggu mental mereka. Insiden itu membuatkan anak-anak saya sensitif, cemas dan gugup kepada bunyi-bunyi tertentu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Alina, dia sekeluarga menerima bantuan sebanyak RM5,000 daripada kerajaan berikutan rumahnya tidak mengalami kemusnahan penuh.
“Beberapa syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga membantu daripada segi bukan kewangan. Malah ada keluarga yang dapat kereta ganti selama sebulan.
“Memang tidak cukup untuk tampung semua kos, tapi kami amat hargai setiap bantuan yang dihulurkan,” katanya.
Tambahnya, penduduk masih dibayangi ketakutan dan trauma akibat kejadian itu, malah bunyi kuat sering mengundang perasaan panik.
“Ketika buat kerja rumah pun kadang-kadang terhenti bila dengar bunyi bising. Fikiran terus teringat balik kepada letupan itu. Bayangkan kalau ia berlaku sekali lagi, entah kami akan selamat atau tidak,” katanya.
Alina turut menyatakan kebimbangan mengenai keselamatan kawasan perumahan mereka memandangkan tiada jaminan daripada pihak berkuasa mengenai punca letupan atau langkah pencegahan yang telah diambil.
“Kami diberitahu akan ada taklimat keselamatan sebelum operasi disambung semula, tapi sehingga hari ini tiada tarikh ditetapkan, malah tiada sebarang komunikasi langsung daripada pihak Petronas.
“Isu keselamatan kawasan pun membimbangkan, terutama bila polis sudah mula beransur keluar dan tiada kawalan keselamatan sewaktu kerja pemulihan dijalankan,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Harib Abu Bakar, 54, berkata, dia sekeluarga terpaksa meninggalkan rumah yang terletak berhampiran kawasan letupan dan berpindah ke perumahan sementara.
“Saya kini perlu keluar lebih awal ke tempat kerja dan ubah keseluruhan jadual harian untuk menghantar serta mengambil anak-anak sekolah,” katanya.
Menurut Harib, kesemua rumah sewa di kawasan kampung berhampiran juga telah penuh menyebabkan mereka tiada pilihan selain menyewa di perumahan yang lebih jauh. – UTUSAN