JOHOR BAHRU: Semua persatuan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disaran bergabung bagi memastikan kebajikan ahlinya lebih terjaga.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ketika ini terdapat 122 persatuan berkaitan dengan majoriti daripadanya tidak aktif.
“Kita tengok sekarang ini terlalu banyak persatuan, apabila bersara sahaja tubuh persatuan. Ada yang tidak aktif, hanya pada nama, ada jumlah ahli yang terlalu kecil dan tidak pernah mengadakan mesyuarat agung.
“Jadi, kita mahu susun semula agar persatuan yang telah diwujud benar-benar dapat memenuhi kehendak agar hal-hal berkaitan veteran dapat dibawa secara bersepadu berbanding setiap persatuan mempunyai pandangan masing-masing,” katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Johor ke-56 di Savanna Hill Resort, Ulu Tiram, di sini hari ini.
Menurutnya, inisiatif itu bagi memastikan perjuangan dibawa veteran ATM berkesan, selain persatuan itu turut dihormati.
“Ini bagi memastikan setiap persatuan yang ada dapat bergerak secara berkesan. Kesemua ahli persatuan ini adalah veteran yang telah berjuang untuk negara dan jasa mereka perlu dihargai,” katanya.
Mengenai ketegangan antara India dan Pakistan, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, negara memantau situasi berkenaan dan menyeru kedua-dua negara mengelakkan peperangan yang hanya merugikan dan memberi kesan buruk kepada rakyat mereka.
“Seperti negara lain dan juga Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kita menyeru agar ketegangan itu dapat dikawal supaya peperangan dielakkan. Kedua-dua negara adalah negara sahabat dan kita tidak mahu perang berlaku,” katanya.
Ketegangan antara India dan Pakistan tercetus ekoran serangan maut melibatkan 26 pelancong di kawasan Pahalgam, Kashmir pada 22 April lalu. India menyalahkan Pakistan punca insiden itu, namun Islamabad menafikan dakwaan berkenaan. – UTUSAN