100,000 akaun terjejas akibat gangguan bekalan air

100,000 akaun terjejas akibat gangguan bekalan air

KEROSAKAN pam utama mengakibatkan gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 100,000 akaun pengguna di beberapa kawasan di daerah ini terjejas akibat gangguan bekalan air susulan kerosakan luar jangka pada pam utama yang menyalurkan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kerosakan tersebut memaksa operasi loji dihentikan sepenuhnya pada petang semalam, menyebabkan agihan air sebanyak 318 juta liter sehari (MLD) terhenti.

Katanya, sebagai langkah segera, sumber air sedia ada telah diolah semula dan berjaya menyelamatkan kira-kira 11,000 akaun pengguna daripada terjejas.

“Akaun ini dijangka menerima bekalan seperti biasa bermula 7 pagi hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Terdahulu, ratusan pengguna meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial syarikat penyedia air negeri, Ranhill SAJ, susulan gangguan yang berlaku secara mengejut.
Mohamad Fazli berkata kerja pembaikan giat dijalankan dan mencapai 15 peratus kemajuan.

“Proses pemulihan bekalan akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan tekanan air kembali stabil.

“Sebanyak 16 lori tangki digerakkan ke lokasi kritikal termasuk hospital, pusat kesihatan dan kawasan tumpuan awam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN