Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-54 Tahun 2025 bertemakan “Guru Pemacu Reformasi Pendidikan” disambut dengan penuh meriah di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Sarawak baru baru ini.
Sambutan tersebut disempurnakan Timbalan Perdana Menteri , Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang turut menyampaikan Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2025 kepada Datuk Dr. Mistirine Radin dan Anugerah Tokoh Guru Peringkat Kebangsaan 2025 yang dirangkul oleh Sukimin Juki.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, turut hadir dalam majlis tersebut dan menyifatkan Sarawak sebagai penanda aras yang sukar ditandingi oleh negeri lain dalam penganjuran sambutan Hari Guru tahun ini. Beliau menzahirkan penghargaan kepada semua guru yang menjadi pemacu utama dalam reformasi pendidikan negara.
Sambutan kali ini dihadiri oleh warga pendidik daripada pelbagai daerah dan bahagian di Sarawak yang hadir lengkap berbaju Melayu dan berbaju batik, memeriahkan suasana dengan warna-warni budaya tempatan. Keragaman ini mencerminkan perpaduan dan semangat kebersamaan dalam kalangan guru-guru di Malaysia.
Selain majlis utama, pameran pendidikan turut diadakan yang menampilkan ceritera guru daripada Jabatan Pendidikan Negeri, agensi kerajaan dan bukan kerajaan serta pihak swasta. Pameran tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada pengunjung tentang pelbagai inisiatif dan usaha dalam bidang pendidikan di peringkat negeri dan nasional.
Salah satu acara menarik adalah tayangan video mengenai tokoh kepimpinan pendidikan kebangsaan tahun 2025 serta penyampaian anugerah kepada guru-guru cemerlang. Persembahan istimewa turut diadakan dengan deklamasi sajak oleh Sasterawan Negara, Datuk Dr. Zurinah Hassan, yang menambah kemeriahan sambutan tersebut.
Sepanjang tiga hari sambutan berlangsung, lebih 100 orang penerima diraikan atas kecemerlangan dan sumbangan mereka dalam bidang pendidikan. Anugerah tersebut meliputi pelbagai kategori yang mengiktiraf dedikasi dan inovasi guru-guru dalam mempertingkatkan mutu pendidikan negara.
Sebagai penghargaan kepada guru cemerlang, seramai 32 guru terpilih dihantar mengikuti program Inovasi Global untuk Guru Masa Depan (GIFTS) ke United Kingdom. Program berkenaan bertujuan memberi pendedahan dan pengalaman antarabangsa kepada guru-guru terpilih agar dapat membawa pulang ilmu dan inovasi terkini untuk diaplikasikan dalam sistem pendidikan Malaysia.
Kementerian Pendidikan turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM4 juta bagi membiayai kursus jangka pendek luar negara untuk guru. Inisiatif tersebut bertujuan meningkatkan kemahiran dan profesionalisme guru, sejajar dengan tema sambutan yang menekankan peranan guru sebagai pemacu reformasi pendidikan.
Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2025 di Kuching bukan sekadar simbolik, tetapi merupakan penghargaan kepada jasa dan pengorbanan guru-guru yang sentiasa berusaha memajukan pendidikan negara.
Dengan tema “Guru Pemacu Reformasi Pendidikan”, sambutan tersebut sebagai manifestasi peranan penting guru dalam membentuk masa depan generasi muda Malaysia. – UTUSAN