MELAKA: Seorang lelaki warga Thailand direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret semalam bagi membantu siasatan selepas disyaki meliwat dan mencabul seorang kanak-kanak lelaki, sejak tiga tahun lalu.
Perintah reman sehingga 29 April ini ke atas suspek berusia 28 tahun itu dikeluarkan Majistret Uthman Abd. Ghani bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKKSTKK) 2017.
Difahamkan, ibu mangsa berusia 35 tahun membuat laporan polis pada 17 April lalu selepas anaknya yang berusia 13 tahun menghubunginya memaklumkan mahu pulang dan tinggal bersamanya di Kuala Lumpur.
“Kejadian terbongkar selepas mangsa menceritakan dirinya dicabul dan diliwat guru agamanya sejak berusia 10 tahun. Mangsa dakwa kejadian pertama berlaku waktu malam sekitar Ogos 2022 di kelas sebuah akademi di Perak ketika mangsa mengikuti pengajian di sana,” katanya.
Kemudian suspek membawa mangsa tinggal bersamanya di sebuah masjid di Bukit Rambai sejak tahun lalu tanpa pengetahuan si ibu, kononnya untuk meneruskan pengajian. – UTUSAN










